Search This Blog

Saturday, June 1, 2013

Pemimpin BRN dituduh tipu


Bangkok: Menteri Pertahanan Sukumpol Suwanatat melabel dua pemimpin pemisah di selatan negara ini sebagai pembohong kerana menuduh pihak berkuasa Thai menggunakan kekerasan terhadap penduduk di selatan.

“Kami tidak melakukannya. Ia satu pembohongan. Pegawai kerajaan tidak melakukan sebarang kesalahan. Kamu yang melakukannya,” katanya semalam. “Pihak berkuasa sangat berdisiplin dan mengawal keadaan. Rundingan boleh diteruskan dan kami sudah bertolak-ansur dalam banyak perkara, tetapi tidak betul membuat tuduhan sedemikian,” katanya. Dia membuat kenyataan itu sebagai reaksi terhadap klip video terbaru yang dimuat naik oleh Hassan Taib dan Adulkareem Kalib, pemimpin Barisan Revolusi Nasional (BRN) Selasa lalu yang menuduh pegawai kerajaan mencederakan penduduk tempatan di selatan.


Mengenai keganasan yang berterusan di wilayah selatan walaupun rundingan damai berlangsung antara pihak berkuasa Thai dan wakil BRN, menteri pertahanan itu berkata, penduduk tempatan meragui jika tindakan BRN ikhlas.

Sukumpol turut berkata, dia bersetuju dengan cadangan ketua tentera Prayuth Chan-ocha agar kerajaan membina pagar di sempadan Thai-Malaysia.


Prayuth mengemukakan cadangan itu ketika majlis menjamu selera bersama perdana menteri Ahad lalu. Pagar sempadan dapat menghalang anggota pemisah melarikan diri dengan mudah, selain menyekat penyeludupan dadah, tetapi perbelanjaannya mungkin mahal. Dia menegaskan bahawa kebanyakan negara mempunyai pagar sempadan. - Bangkok Post

No comments:

Post a Comment