Muidin Maidin
Muidin Maidin,26, dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Johor Bahru. - Foto Bernama
JOHOR BAHRU - Mahkamah Tinggi di sini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap Muidin Maidin, 27, selepas didapati bersalah membunuh seorang kanak-kanak, Nurul Nadirah Abdullah, 5, atau Dirang.

Hakim Datuk Abdul Halim Aman memutuskan demikian selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Muidin yang berketurunan Sulu, dituduh membunuh kanak-kanak itu di Ladang Kelapa Sawit, Jalan Suria 47, Bandar Seri Alam, antara jam 11.30 pagi 1 Mac 2012 hingga 12 tengah malam 2 Mac 2012.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.  

Dirang dilaporkan hilang 1 Mac tahun lalu ketika keluar membeli mi segera dan telur di kedai runcit berhampiran rumahnya di Flat Seri Delima, Bandar Seri Alam.

Kehilangannya menjadi sebuah misteri sehingga DNA rangka manusia yang ditemui seminggu selepas itu merungkai segala-galanya.

Rangka Dirang ditemui pada 8 Mac dan punca kematian adalah bunuh dan dibakar.