Panik lihat mangsa sesak nafas
Laporan Sinar Harian mengenai penemuan mayat mangsa, semalam.
MELAKA – Pelajar tingkatan lima yang ditahan bagi membantu siasatan kes kematian seorang remaja perempuan di Kampung Solok Gaung, Ayer Molek, di sini dipercayai meninggalkan mangsa yang sesak nafas selepas gagal memberi bantuan kecemasan.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Superintendan PR Gunarajan berkata, pelajar lelaki berusia 17 tahun itu yang juga rakan kepada mangsa, Aimi Hamizah, 14, dipercayai panik apabila melihat mangsa diserang sesak nafas ketika kedua-duanya berada di kawasan kejadian, berhampiran sebuah kawasan lapang tempat remaja bermain bola sepak.

Menurutnya, disebabkan panik, suspek dipercayai meninggalkan mangsa begitu saja, biarpun sebelum itu berusaha memberikan bantuan pernafasan.

"Suspek turut meletakkan beg dan telefon bimbit mangsa di surau berdekatan kampung berkenaan pada kejadian yang berlaku antara jam 9 dan 10 malam itu," katanya.

Menurutnya, setakat ini, polis belum mengetahui punca sebenar kematian disebabkan mayat mangsa ditemui dalam keadaan busuk.

“Tiada kesan langsung mangsa cedera di mana-mana anggota badan, manakala barang kemas masih dipakai mangsa ketika ditemui,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, semalam.

Beliau berkata, suspek yang juga belajar di sekolah sama di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ayer Molek kini ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.

"Polis tidak menolak kemungkinan mangsa dan suspek berkawan rapat dan pergi ke kawasan kejadian secara sukarela berdasarkan tiada kesan kecederaan di tubuh mangsa," katanya.

Menurutnya, polis akan meneruskan siasatan bagi mengetahui punca kematian selain mengharapkan orang awam yang nampak ketika kejadian tampil membantu.

Gunajaran berkata, polis akan merujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya dan setakat ini siasatan masih dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dalam kejadian 7 malam Rabu lalu, Aimi Hamizah ditemui mati di semak yang turut dijadikan kawasan pembuangan sampah selepas dilaporkan hilang sejak Isnin lalu.

Mangsa ditemui dalam keadaan telentang atas papan lapis dengan berpakaian baju kurung merah jambu dan tudung di sisi oleh sekumpulan remaja lelaki yang sedang pulang bermain bola di kawasan lapang berhampiran.

Jenazah mangsa disembahyangkan di Surau Taman Ayer Molek, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pengkalan Minyak, di sini selepas solat Asar, semalam.