Search This Blog

Saturday, June 29, 2013

Padah curi tembikai

Padah curi tembikai
Mohd Faizal dikenakan kehadiran wajib selama dua bulan kerana mencuri tembikai.
BALING - Gara-gara mencuri tembikai, seorang lelaki menerima padah setelah diarahkan menghadiri  khidmat masyarakat wajib selama dua bulan, setiap sesi empat jam sehari dan wang cagaran sebanyak RM1,000 termasuk pampasan sebanyak RM300 oleh Mahkamah Majistret, semalam.

Mohd Faizal Radzuan, 21, dari Kampung Lubuk Batu, Charuk Kelian mengaku bersalah ketika pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret, Mohd Khairul Hafizuddin Ramli.

Menurut pertuduhan, Mohd Faizal mencuri enam biji tembikai di kedai buah berhadapan syarikat Sopiah Jalan Syeikh Shiekh, Baling pada jam 3.30 pagi, 29 Mei lalu.

Bagaimanapun, tindakannya itu disedari oleh penjaga kedai tersebut seterusnya bertindak menahannya untuk diserahkan kepada pihak polis.

Mohd Faizal turut berhadapan hukuman penjara selama dua bulan sekiranya gagal menjelaskan pampasan yang dikenakan kepadanya.

Sementara itu, seorang lelaki dikenakan hukuman denda sebanyak RM8,000 dan 14 hari penjara selepas mengaku salah memiliki 100 bungkus air rebusan daun ketum.

Rosdi Che Lah, 41, dari Kampung Pulai Lama, melakukan kesalahan itu 8 Oktober tahun lalu di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Pekan Lama Pulai.

Berdasarkan fakta kes, rebusan air ketum itu dijumpai di dalam sebuah tong ais di sebelah kanan rumah tersebut.

Rosdi yang hanya bekerja kampung itu melakukan kesalahan di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Sebelum ini, pihak polis telah berjaya menahan beberapa orang dari kampung yang sama dengan kesalahan sama iaitu memproses dan menjual air terlarang itu kepada penduduk sekitar.

Timbalan Ketua Polis Baling, Deputi Superintendan Abdul Rahim Abdullah sebelum itu turut mengingatkan kepada orang ramai agar menyalurkan maklumat kepada polis mengenai kegiatan memproses dan penjualan air ketum ini.

Dalam kenyataannya, Abdul Rahim meminta orang ramai tidak membeli minuman itu kerana tindakan memproses dan menjual adalah disebabkan adanya permintaan dari orang ramai.

No comments:

Post a Comment