Search This Blog

Saturday, June 1, 2013

Nekad rempuh pokok elak maut


Alor Gajah: Tindakan nekad seorang pemandu lori muatan ikan siakap merempuh deretan pokok menyelamatkannya dari maut selepas kenderaan dipandu mengalami masalah teknikal di Kilometer 205, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara di susur masuk Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Air Keroh, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian itu, lori 11 tan dipandu Mohd Rizal Md Yusof, 40, bersama kelindan Amir Ismail, 43, dikatakan hilang kawalan sebelum merempuh tebing di tempat kejadian, jam 1.20 pagi.


Sumber berkata, mangsa dan rakannya dikatakan dalam perjalanan dari Kota Tinggi, Johor ke Pulau Pinang untuk menghantar bekalan ikan siakap segar.

“Kemalangan dipercayai berpunca apabila brek, gear serta stereng tidak berfungsi,” katanya, di sini, semalam.


Sementara itu, Mohd Rizal mengakui tidak mempunyai pilihan selain meredah longkang kecil di kanan jalan sebelum merempuh tiga pokok di susur masuk R&R berkenaan.


“Kami bertolak dari Sedeli, Kota Tinggi, jam 9 malam dan berhenti di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Pagoh untuk melakukan pemeriksaan rambang pada lori sebelum meneruskan perjalanan dan berhenti sekali lagi di R&R Air Keroh,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini, semalam.

No comments:

Post a Comment