Mesin ATM dilarikan
ATM yang dirompak
JOHOR BAHRU – Sebuah mesin ATM berjaya dilarikan sekumpulan perompak dalam kejadian jam 1 pagi, di Desa Cemerlang, di sini, semalam.

Rompakan yang menggunakan kenderaan jenis Hilux sebagai jentera pengangkut dipercayai telah dirancang rapi kerana kelibat kenderaan itu dikesan kakitangan bank tersebut beberapa hari sebelum kejadian.

Seorang kakitangan bank yang enggan dikenali mendakwa beberapa kali ternampak kenderaan itu di kawasan tersebut.

Modus operandi kumpulan  tersebut ialah memandu kenderaan terbabit menuju ke pintu masuk bank berkenaan yang kemudiannya bertindak merantai mesin ATM lalu memecut laju.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Roslan Zainuddin yang mengesahkan kejadian itu berkata, pihaknya akan menubuhkan satu unit khas bagi menyiasat kes tersebut.

“Kami akan meneliti semula rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di sekitar premis terbabit bagi menjalankan siasatan,” katanya, di sini, semalam.

Zainuddin percaya kejadian itu turut mempunyai kaitan dengan cubaan membawa lari mesin ATM di Taman Daya, Rabu lalu.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan jumlah  wang dalam mesin ATM masih belum diketahui dan akan disiasat.