Mohamad Nasir Ramli
Mohamad Nasir Ramli
MUAR – Mayat seorang lelaki ditemui polis dalam keadaan tangan dan kaki terikat menggunakan tali selain dibungkus dengan kain, dipercayai telah dibunuh.

Ia ditemui dalam parit di sebuah ladang kelapa sawit di Sungai Pegam, Sungai Terap, di sini, petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli berkata, mayat yang dipercayai warga tempatan itu dianggarkan berusia antara 25 hingga 35 tahun dan dijumpai oleh pekebun kawasan berhampiran sekitar jam 1.15 petang kelmarin.

“Mangsa ditemui lengkap berpakaian dan terdapat banyak kesan lebam pada mukanya dipercayai dipukul menggunakan objek tumpul.

Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk bedah siasat,” katanya kepada pemberita, di sini, semalam.

Mohamad Nasir berkata, pihaknya menganggarkan mangsa sudah meninggal dunia antara 12 hingga 24 jam yang lalu.

“Setakat ini polis tidak dapat mengenal pasti identiti sebenar kerana tiada pengenalan diri ditemui pada mangsa.

“Berdasarkan hasil siasatan awal, kemungkinan mangsa dibunuh di tempat lain sebelum dicampak ke kawasan berkenaan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Justeru, beliau menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu dapat menghubungi balai polis berdekatan untuk membantu siasatan.