Mangsa terkedu dalam kereta
Anggota bomba memeriksa keadaan rumah Aziz yang terbakar bagi menilai kerosakan dan kerugian yang ditanggung mangsa
TANAH MERAH- "Saya ambil masa 30 minit untuk tenangkan diri dalam kereta, sebelum melihat sendiri rumah saya yang telah musnah terbakar," kata mangsa kebakaran, Aziz Ibrahim, 51, yang ditemui jam 10 pagi semalam.
Aziz, guru di sebuah sekolah menengah di Jeli berkata, ketika kejadian lewat malam kelmarin, dia sedang mengikuti kursus bimbingan dan kaunseling yang dijangka berakhir Khamis depan di Genting Highland.

Namun, menurutnya, dia menerima panggilan telefon daripada rakan, Mahadi Mohd, 47, yang menyatakan bahawa rumahnya berasap.

Katanya, disebabkan rasa tidak sedap hati, dia menghubungi isteri, Apipah Mohd Nor, 50, yang tinggal sementara di rumah emaknya, Bidah Awang, 80, sementara dia menghabiskan kursus.

"Saya minta dia jenguk keadaan rumah kami. Nasib kami malang apabila rumah yang saya bina sejak enam tahun lalu musnah dijilat api," katanya.
Aziz berkata, disebabkan kejadian itu, dia bergegas pulang tanpa menghabiskan kursus.

"Setiba di halaman rumah, saya tidak sanggup keluar lihat keadaan rumah itu. Saya terlalu terkejut dengan kejadian ini," katanya.

Pegawai Operasi Bomba dan Penyelamat Jeli, Mat Yusuf Hamat berkata, bomba bersama sepuluh anggota dan dua jentera, dibantu jentera bomba sukarela dengan lima anggota bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan jam 12.45 tengah malam kelmarin.

“Setibanya di lokasi kejadian, didapati rumah berkenaan sudah 50 peratus terbakar. Kami mengambil masa kira-kira 20 minit bagi mengawal api dan memadam kebakaran,” katanya .

Menurutnya, kebakaran masih dalam siasatan dan kerugian dianggarkan berjumlah RM450,000.