DUNGUN - Lima keluarga tinggal sehelai sepinggang apabila lima buah rumah separuh kekal dua tingkat di Kampung Che Lijah di sini, hangus dalam kebakaran hari ini.
  
Kejadian yang berlaku pukul 10.15 pagi itu memusnahkan rumah Ahmad Adam, 55; Rashid Ibrahim, 44; Jamil Abdullah, 53; Mohd Yusof, 52; dan Amin Kasim, 49.
  
Penolong Pengarah Operasi Bomba negeri Zulkhairul Mohd Razilah berkata pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 10.20 pagi dan tiba di tempat kejadian lima minit kemudian.
  
Tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Dungun serta Paka digegaskan ke tempat kejadian dan operasi memadam kebakaran turut dibantu pasukan bomba sukarela Ketengah Jaya, Jabatan Pertahanan Awam selain anggota kawasan Rukun Tetangga, katanya kepada Bernama, di sini.
  
Menurutnya kebakaran dipercayai berpunca dari rumah milik Ahmad sebelum merebak ke rumah berdekatan.

Sementara itu, Ahmad berkata beliau sedang menonton televisyen bersama dua cucunya Haris Iskandar Zuklfifli, 11, dan Mohd Al Basir Zulkifli, 5, sebelum mendapati api muncul dari siling rumah.
  
Beliau kemudian mengarahkan dua cucunya itu keluar menyelamatkan diri.
  
"Saya lihat api membakar atap dan merebak ke dinding dan saya mengambil penyapu memadam api terbabit namun tidak berjaya dan tidak menyangka api sudah marak membakar ruang dapur dan telah merebak membakar rumah jiran bersebelahan," katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian.
  
Beliau kemudian bergegas keluar dari rumah itu apabila mendapati api semakin marak namun naik semula ke rumah bagi mengambil dokumen penting sehingga menyebabkan beliau terkena api dan mengalami lecur pada bahu.
  
Sementara itu jirannya Jamil Abdullah, 53, berkata ketika kejadian beliau terhidu bau hangit lantas keluar dari rumah dan mendapati rumah jirannya terbakar.
  
Beliau bersama isteri dan tiga anak mereka kemudian lari menyelamatkan diri apabila mendapati api itu telah merebak membakar dinding rumahnya.
  
"Saya hanya sempat mengambil beberapa  dokumen penting serta gagal menyelamatkan harga benda memandangkan api begitu marak membakar disusuli angin yang amat kuat," katanya yang menganggar kerugian hampir RM30,000. - Bernama