GEORGETOWN - Seorang lelaki maut dirempuh sebuah kereta di Kilometer 7.7 jambatan Pulau Pinang awal pagi ini selepas mangsa dipercayai memberhentikan kenderaannya secara tiba-tiba bagi menghalang seorang pemandu lain.
  
Jurucakap polis berkata mangsa, Phung Soon Lye, 39, yang dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol, maut di tempat kejadian selepas cedera teruk di kepala dan seluruh badan.
  
Beliau berkata kejadian itu berlaku pukul 1 pagi di pertengahan jambatan berkenaan dari arah Seberang Perai ke Pulau Pinang.
  
"Pihak polis difahamkan, berlaku salah faham antara mangsa dan juga pemandu kereta Audi, mangsa yang tidak berpuas hati terus memberhentikan kenderaannya secara tiba-tiba di tengah jalan dan bertindak menghalang pemandu kereta Audi itu bergerak.
  
"Mangsa yang dalam keadaan mabuk terus membuka pintu dan menarik keluar pemandu kereta Audi terbabit, namun secara tiba-tiba sebuah kereta yang tidak sempat berhenti terus merempuhnya dari arah belakang," katanya.

Beliau berkata akibat rempuhan kuat, tubuh mangsa terseret manakala pintu kereta Audi tercabut.
  
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Gan Kong Meng, ketika dihubungi, mengesahkan kejadian berkenaan.
  
Beliau berkata dalam kejadian itu, pemandu kereta Audi hanya cedera ringan dan dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan.
  
Mayat mangsa turut dihantar ke hospital sama untuk bedah siasat.
  
Jurucakap itu juga berkata pihak polis akan menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian berkenaan dan mengambil keterangan pemandu kereta Audi. - Bernama