Lelaki ditemui lemas
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Pasir Mas untuk bedah siasat.
RANTAU PANJANG – Seorang lelaki yang keluar berkelah bersama seorang rakannya di Empangan Bukit Kwong, Lubok Stol, di sini semalam ditemui lemas kira-kira tiga meter dari permukaan oleh pasukan penyelam Skuba Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Mangsa, Dzulkifli Mat Zain, 34, dipercayai keluar berkelah menaiki sebuah bot bersama-sama rakannya, bagaimana pun bot berkenaan dikatakan terbalik dan mangsa gagal diselamatkan.

Pemangku Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Zaimi Samat berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian kira-kira jam 3.30 petang dan bergegas ke lokasi bersama lima anggota diketuai Pegawai Bomba Kanan II,Azmi Ibrahim.

Menurutnya, pasukan itu turut dibantu unit Skuba Bomba dari Pengkalan Kubor dan Kota Bharu untuk usaha mencari dan menyelamat mangsa.

“Anggota Skuba Berjaya menemui mayat mangsa pada kedalaman tiga meter dari permukaan air dan mangsa sudah pun meninggal dunia.

“Mayat kemudiannya diserahkan kepada polis untuk dihantar ke Hospital Pasir Mas untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga untuk urusan pengebumian,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Zaimi berkata, rakan yang bersama mangsa bagaimanapun berjaya menyelamatkan diri dipercayai boleh berenang dan kemudiannya memaklumkan kejadian menimpa mereka.   

caption

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Pasir Mas untuk bedah siasat.