Search This Blog

Monday, June 17, 2013

Korban tertinggi


Jitra: Penunggang motosikal muda berusia antara 16 dan 30 tahun menjadi penyumbang kepada lebih 40 peratus kematian daripada 6,917 kes kemalangan maut di seluruh negara sepanjang tahun lalu.

Ketua Trafik Pasukan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman Datuk Abdul Aziz Yusof berkata, kadar kematian golongan muda itu amat membimbangkan kerana jumlah kemalangan maut membabitkan penunggang motosikal adalah antara tertinggi berbanding kenderaan lain.


Katanya, pelbagai usaha dilaksanakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengurangkan kadar kemalangan dalam kalangan penunggang motosikal terutama golongan muda.

“Kita sentiasa mengalu-alukan usaha dan kerjasama daripada pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) untuk bersama-sama mengadakan kempen keselamatan dalam mengurangkan kadar kemalangan jalan raya terutama membabitkan penunggang motosikal.


“Antaranya termasuk kerjasama dengan Kelab Riders United buat kali kelima apabila bersama-sama menyertai kempen kesedaran keselamatan jalan raya di seluruh negara,” katanya selepas merasmikan Kempen Kesedaran Keselamatan Jalan Raya di Taman Tasik Darulaman, di sini, kelmarin.


Kempen mendapat sambutan menggalakkan apabila kira-kira 500 penunggang motosikal dalam kalangan generasi muda menyertai konvoi dan kempen sehari itu.

Abdul Aziz berkata, usaha yang diambil bersama Riders United itu wajar dicontohi dan langkah terbaik kerana turut mendedahkan kepada penunggang motosikal mengenai cara menunggang yang betul dan selamat oleh jurulatih polis trafik.


Katanya, walaupun banyak kempen diadakan bertujuan mendidik penunggang motosikal lebih berhemah dan menghormati undang-undang jalan raya, jika masih terdapat mereka yang melakukan kesalahan maka tindakan tetap diambil.

“Kita mendidik mereka supaya menghormati undang-undang, namun jika terus berdegil melakukan kesalahan jalan raya, tindakan saman tetap akan diambil ke atas mereka.


“Malah, kita juga tidak mahu golongan muda terutama remaja berasa anggota trafik adalah musuh sebaliknya mahu menjadi ‘kawan’,” katanya.

No comments:

Post a Comment