Impian miliki kereta berkecai
Jia Ren (kiri) menunjukkan laporan polis yang dibuat kepada Michael (kanan).
JOHOR BAHRU – Seorang juruteknik bukan sahaja tidak dapat memandu kereta idamannya, malah mendakwa kerugian RM14,000 akibat ditipu seorang lelaki bagi pembelian kereta terpakai berkenaan.

Tyo Jia Ren, 20 berkata, lelaki tersebut berusia 23 tahun yang dikenali di sebuah pusat hiburan di bandar raya ini berperwatakan menarik dengan penampilan meyakinkan  menyebabkan dirinya percaya untuk membuat urusan pembelian kereta terbabit.

“Saya mengenali lelaki itu di sebuah pusat hiburan yang mana secara tidak sengaja dan saya memberitahu saya mahu membeli kereta, awal bulan ini. Dia kemudiannya memberitahu memiliki sebuah kereta jenis Toyota Wish untuk dijual dengan harga RM14,000.

“Setiap kali bertemu, lelaki tersebut pasti memakai aksesori yang berjenama dan memandu kereta mewah, selain pandai berkata-berkata menyebabkan saya akhirnya terpengaruh dan bersetuju untuk membeli kereta tersebut,” katanya kepada media di Pejabat Timbalan Pengerusi Biro Aduan Awam MCA Cawangan Johor Bahru, Michael Tay, di sini, kelmarin.

Jia Ren berkata, tanpa berfikir panjang, dia akhirnya memasukkan wang sebanyak RM4,500 menerusi sebuah bank dan selebihnya berjumlah RM9,500 diserahkan secara tunai di sebuah stesen minyak di Permas Jaya, di sini.

“Saya bersetuju dengan harga yang ditawarkan dan lelaki itu berjanji menyerahkan kereta Toyota Wish secepat mungkin iaitu pada 18 Jun lalu,” katanya.

Bagaimanapun, malang buat Jia Ren apabila kereta yang dijanjikan tidak diterima dan lelaki tersebut tidak dapat dihubungi.

Dia kemudiannya  membuat laporan polis untuk tindakan lanjut di Balai Polis Taman Pelangi, tiga hari lalu.

“Saya cuba menghubungi lelaki itu banyak kali, namun tidak diangkat. Selepas itu, baru saya sedar, saya telah ditipu dan wang yang saya simpanan saya habis begitu sahaja.

“Lelaki tersebut tidak mengangkat panggilan saya tetapi membalas mesej saya. Sudahlah melarikan wang saya, dia kini selalu menghantar mesej mengugut saya supaya mencari dan mengesannya beberapa kali,” katanya.

Jia Ren berharap, lelaki itu bertanggungjawab atas perbuatannya dan memulangkan kembali wang supaya dia tidak meneruskan tindakan lanjut berhubung kes berkenaan.

Dalam pada itu, Michael menasihatkan orang awam supaya berhati-hati dalam pembelian yang melibatkan harga yang tidak munasabah selain mendapatkan maklumat lanjut yang berkaitan supaya tidak mudah ditipu oleh individu yang cuba mengambil kesempatan.