Search This Blog

Thursday, June 13, 2013

Imigresen Kelantan tahan 35 warga asing


KOTA BAHRU - Jabatan Imigresen Kelantan menahan 35 warga asing tanpa izin dalam operasi yang dilakukan di tiga lokasi di sini, malam tadi.
   
Ketua Penguatkuasa Imigresen Kelantan Abdul Rasek Abu Bakar berkata mereka merupakan antara 106 warga asing yang diperiksa dalam operasi serentak yang bermula pada 10 malam di Melor dan Kok Lanas di sini serta Kebakat di Tumpat.
   
Kesemua 35 tahanan berumur antara 16 hingga 43 tahun itu, tidak mempunyai pas lawatan kerja dan masuk ke negara ini untuk bekerja dalam sektor pembinaan dan jahitan pakaian, katanya kepada pemberita di pejabat Imigresen Negeri Kelantan di sini hari ini.
   
Beliau berkata 35 warga asing itu terdiri daripada Thailand, Myanmar, Indonesia, Pakistan dan India.  

Katanya, lima warga Pakistan dan seorang warga India itu ditahan ketika sedang menjahit tudung di sebuah rumah di Kampung Kebaka dan selebihnya warga Thailand dan Indonesia ditahan di premis pembinaan di Kok Lanas dan Melor.
   
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki Malaysia tanpa pas sah.
   
"Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya dan boleh disebat," katanya.
   
Justeru beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai warga asing di kawasan mereka agar melaporkanya.
   
"Kerjasama daripada penduduk setempat amat dialu-alukan bagi kami menjalankan siasatan dan tangkapan," katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment