Hujan batu di Kampung Selamat
Sebuah kenderaan milik penduduk turut rosak teruk akibat dihempap pokok tumbang.
Hujan batu di Kampung Selamat
Keadaan dapur dan bilik air rumah Raja Abdul Aziz yang musnah akibat ditimpa pokok tumbang berikutan kejadian ribut melanda Kampung Selamat, kelmarin.
Hujan batu di Kampung Selamat
Seorang penduduk menunjukkan bumbung rumahnya yang rosak akibat dilanda angin puting beliung.
GUNUNG SEMANGGOL - Namanya Kampung Selamat, namun statusnya tidak memberi jaminan kepada penduduk di sini apabila kediaman mereka dilanda hujan berbentuk ketulan ais dan ribut.

Sebanyak tujuh rumah dan sebuah sekolah di kampung itu mengalami kerosakan akibat dilanda angin puting beliung, manakala empat rumah lagi terputus bekalan elektrik.

Penduduk kampung turut mendakwa rumah mereka dihujani ketulan ais sebesar biji guli  menyebabkan bumbung kediaman mereka bocor.

Mangsa kejadian, Raja Abdul Aziz Raja Kamaruddin, 58, berkata, dalam kejadian jam 6.30 petang, dia bersama keluarga berehat di ruang tamu rumah sebelum terdengar bunyi rintik hujan yang sangat kuat diselangi angin kencang.

Menurutnya, bimbang dengan bunyi yang seakan-akan bunyi hentaman batu, dia dan keluarga segera berlari ke bahagian garaj kereta.

“Tiupan angin ketika itu sangat kencang sehingga kami terpaksa berpaut pada tiang garaj. Keadaan lebih mencemaskan apabila melihat sebatang pokok manggis setinggi  3.4 meter tumbang ke arah kami.

“Mujur kami sempat mengelakkan dan pokok itu menimpa bahagian dapur dan bilik air,” katanya sewaktu ditemui media di rumahnya di sini semalam.

Seorang lagi mangsa kejadian, Azman Ayob, 27, berkata, ketika kejadian, dia membaiki motosikal di garaj sebelum melihat angin puting beliung melanda rumahnya.

“Angin itu menerbangkan keseluruhan bumbung garaj dan memutuskan kabel bekalan elektrik yang bersambung dari sebuah tiang elektrik berdekatan.

“Saya berasa sakit terkena rintik hujan yang turun dan apabila diteliti, rintik hujan tersebut sebenarnya ketulan ais sebesar biji guli,” katanya.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Selamat, Kamaruddin Hussin, 46, berkata, kejadian luar biasa itu pertama kali berlaku di kampung itu sejak dibuka.

Menurutnya, sebanyak lapan kediaman termasuk rumahnya dan sebuah sekolah rendah mengalami kerosakan di bumbung serta ditimpa pokok akibat ribut berkenaan.

“Selain itu, sebanyak empat rumah terputus bekalan elektrik manakala terdapat dua kenderaan rosak ditimpa pokok tumbang.

“Kejadian ini mendapat perhatian wakil Ahli Parlimen Bagan Serai, Dr Noor Azmi Ghazali serta Ketua Umno bahagian Bagan Serai, Datuk Zaili Cha dan kami berharap pihak bertanggungjawab segera menghulurkan bantuan bagi meringankan beban ditanggung penduduk,” katanya.

Dalam pada itu, Zaili ketika dihubungi menyatakan pihaknya sudah melawat lokasi kejadian dan meminta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk menyalurkan bantuan kecemasan kepada mangsa ribut.