Hilang kereta di hospital
Siu Huey (kanan) ditemani rakannya Lim Hee masih berasa sedih dengan kejadian yang berlaku.
KLUANG - Seorang suri rumah terkilan kerana hasratnya untuk mengagihkan udang kepada rakan tidak kesampaian apabila keretanya yang diparkir di pekarangan sebuah hospital dekat sini, hilang dipercayai dicuri.

Mangsa, Tan Sin Huey, 47, mendakwa menyedari keretanya jenis Proton Wira berwarna biru hilang ketika ke tempat letak kereta selepas menghantar rakannya, Lim Hee, 57, yang hampir pengsan kerana mengalami tekanan darah rendah, di hospital tersebut kira-kira jam 9.30 pagi, kelmarin.

“Lebih kurang hampir dua jam menanti kawan saya siap untuk mendapatkan rawatan, saya kembali ke tempat letak kereta dengan harapan untuk hantar udang yang saya beli kepada rakan-rakan saya di Yap Tau Sah.

“Tapi apabila tiba, saya lihat kereta saya sudah tiada dan cari kalau saya tersilap letak. Bagaimanapun saya tak dapat kesan kereta. Saya ada bertanya kepada pengawal di kawasan hospital jika ternampak atau tidak.

“Nasib saya memang malang, tiada siapa menyedari kenderaan saya dicuri dan saya pasti telah kunci kereta sebelum meninggalkannya,” katanya.

Sin Huey yang masih trauma, akui serik untuk memandu kenderaan ke hospital kerana bimbang kejadian sama berulang.

“Selepas mendapati kereta saya hilang saya terus melaporkan kepada polis supaya polis dapat mendapatkan semula kereta saya yang hilang ini.

“Kereta sudah hilang, hasrat untuk beri udang kepada kawan-kawan juga tak kesampaian dan anak-anak saya juga mengingatkan saya supaya tidak memandu lagi kerana risau kejadian sama akan berlaku lagi,” katanya.

Dalam pada itu, Siu Huey mengingatkan masyarakat agar berhati-hati ketika meletakkan kereta di tempat awam serta memastikan kereta dipasang dengan ciri-ciri keselamatan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Abdul Majid Mohd Ali mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian tersebut.

Katanya, polis menerima laporan daripada pengadu kira-kira jam 11 pagi selepas kejadian tersebut berlaku.

“Pada masa ini polis akan siasat kejadian tersebut di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan kejadian yang berlaku ini merupakan kejadian pertama melibatkan kereta hilang di kawasan hospital.

“Bagaimanapun, pihak polis akan mengadakan perbincangan dengan pengarah hospital terbabit untuk tingkatkan keselamatan di kawasan hospital agar kejadian seumpama ini tidak berlaku lagi,” katanya.

Bagaimanapun, usaha Sinar Harian menghubungi pihak hospital terbabit gagal.