GPS bantu bongkar kegiatan curi kereta
Abdul Aziz (dua,kiri) bersama pegawai dan anggotanya melihat kenderaan curi yang ditemui semula.
TEMERLOH – Tindakan seorang pemilik lori memasang alat pengesan GPS pada kenderaannya bukan sahaja berjaya menggagalkan penjenayah untuk melarikan lorinya malah membongkar kegiatan pasaran ‘kenderaan panas’ di kawasan Felda.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Pemangku Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, hasil laporan pemilik lori dari Jempol, Negeri Sembilan itu, polis berjaya menemui semula sebuah lori, dua kereta dan tiga motosikal curi apabila menahan pasangan suami isteri dan seorang rakannya di Kerdau serta Jengka pagi kelmarin.

Menurutnya, kegiatan itu terbongkar apabila polis Temerloh yang menerima maklumat daripada IPD Jempol jam 9 pagi kelmarin berjaya mengesan lalu mengekori lori yang dicuri di Jempol dipandu seorang lelaki berusia 42 tahun menghala ke Jerantut.

“Selepas mengekori suspek sejauh 20 kilometer melalui jalan Kampung Tekal, suspek yang menyedari diekori kemudian cuba memecut lorinya sebelum terbabas.

“Suspek cuba melarikan diri namun berjaya diberkas, polis turut menahan isteri suspek yang berada di dalam lori terbabit,” katanya pada sidang media semalam.

Abdul Aziz berkata, siasatan lanjut ke atas suspek terbabit kemudian berjaya menemui sebuah kereta Waja yang dilaporkan hilang di Selayang, motosikal jenis Yamaha 125 dilaporkan hilang di Padang Tengku,  motosikal jenis
Suzuki yang dilaporkan hilang di Maran dan motosikal jenis Yamaha LC yang hilang di Sungai Buloh, Selangor.

Beliau berkata, kenderaan terbabit ditemui di rumah sewa suspek di Taman Temerloh Jaya. Siasatan polis selepas itu berjaya menemui sebuah Proton Exora dalam kawasan Masjid Songsang yang dilaporkan hilang di Yong Peng, Batu Pahat.

Menurutnya, polis kemudian menahan seorang lagi lelaki berusia 26 tahun dipercayai rakan jenayah suspek di Felda Mawar Jengka, Maran.

“Siasatan polis mendapati suspek bertindak secara individu dan menjual kenderaan curi ini di kawasan Felda sejak dua tahun lalu, lelaki ini juga mempunyai enam rekod jenayah berkaitan curi kenderaan sebelum ini.

“Kesemua suspek kini direman hingga 30 Jun bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri serta Seksyen 186 kanun yang sama kerana menghalang tugas penjawat awam,” katanya.
Abdul Aziz berkata, suspek cuba menjual lori terbabit di pasaran gelap dengan harga RM5,000 dan RM3,000 untuk setiap kenderaan berkenaan.