Search This Blog

Saturday, June 1, 2013

Diugut gara-gara penyewa

Diugut gara-gara penyewa
King Lam (kanan) ketika menunjukkan keadaan halaman rumahnya yang disimbah cat merah kepada Steven.
JOHOR BAHRU – Sebuah keluarga empat beranak trauma selepas dua kali rumah mereka di Taman Setia Indah, di sini disimbah cat merah dipercayai oleh ah long sejak April lepas.

Eksekutif Jualan, Lim King Lam, 45, berkata, sekitar awal April, dia didatangi dua lelaki yang memandu kereta Perodua Myvi mencari penyewa bilik rumahnya yang dikenali sebagai Tay Ah Seng.

Bagaimanapun menurutnya, seminggu kemudian dia menerima sekeping notis amaran dalam tulisan cina yang ditampal di pagar rumah meminta Ah Seng membayar duit yang dipinjam.

“Mereka ada tunjukkan bil elektrik rumah saya yang digunakan Ah Seng membuat pinjaman wang, tapi saya katakan Ah Seng bukan saudara saya dan tidak lagi menyewa di sini.

“Mereka tidak percaya dan terus mengganggu kami sekeluarga dengan menghantar notis amaran dan menyimbah cat merah di halaman rumah sebanyak dua kali,” katanya kepada pemberita, di sini, semalam.

King Lam berkata, Ah Seng sepanjang lebih lima tahun menyewa bilik rumahnya tidak pernah menimbulkan masalah sehinggalah mengalami tunggakan sewa selama tiga bulan sejak Disember tahun lalu dan berpindah pada Mac lalu.

Menurutnya, cat merah yang dibaling pada kali kedua, semalam lebih teruk berbanding kali pertama sehingga menambahkan lagi ketakutan dan traumanya sekeluarga.

“Kami sudah menampal notis di luar pagar rumah supaya tidak mencari Ah Seng di sini lagi selepas cubaan menghubungi dan mencari lelaki berkenaan gagal.

“Laporan polis sudah dibuat, tapi kami tetap diancam seperti ini sehingga kami semakin trauma dan takut untuk keluar rumah terutama memikirkan keselamatan anak-anak,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Setiausaha Agung PKR, Steven Choong ketika turun padang ke rumah mangsa berkata, pihaknya akan menggunakan saluran yang ada untuk mengesan Ah Seng dan mengadakan perjumpaan dengan pihak polis dalam masa terdekat.

“Kita akan mengadakan rundingan dengan pihak polis dalam masa terdekat untuk meminta mereka mengesan Ah Seng melalui syarikat telekomunikasi,” katanya.

Katanya, Ah Seng juga digesa menghubunginya segera untuk berbincang mengenai cara yang boleh dibuat untuk membantu membuat bayaran balik pinjaman berkenaan.

“Saya minta Ah Seng hubungi saya di talian 013-7700076 segera. Kita boleh bantu untuk selesaikan pinjaman ini melalui perbincangan bersama syarikat pinjaman wang berkenaan,” katanya.

No comments:

Post a Comment