Search This Blog

Saturday, June 1, 2013

Diberkas gara-gara curi jagung

Diberkas gara-gara curi jagung
Ser Kwee bersalaman dengan Abdul Majid tanda terima kasih di atas penangkapan pencuri di kebunnya.
KLUANG - Seorang lelaki diberkas polis Kluang atas kesalahan mencuri jagung di sebuah kebun di Simpang Renggam, di sini, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Abdul Majid Mohd Ali berkata, pihaknya mengetahui mengenai kejadian setelah pengadu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang.

Bertindak atas laporan yang dibuat pihaknya telah mengadakan serbuan serta pemeriksaan di sebuah rumah di Taman Ria, Simpang Renggam pada hari sama.

Merurutnya, hasil serbuan yang dijalankan itu polis berjaya memberkas seorang lelaki berumur dalam lingkungan 40an di rumah berkenaan kira-kira jam 11.15 pagi.

“Turut dirampas seguni jagung, seguni keledek dan ubi kayu serta sebuah kereta bernombor pendaftaran Singapura.

“Hasil siasatan mendapati suspek merupakan warga tempatan dan mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan kes kecurian.

“Suspek akan disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya pada sidang media di IPD Kluang, di sini, semalam.

Sementara itu, pekerja kebun, Lim Chin Kian, 51, berkata, hasil tanaman di kebun milik tuannya sering dicuri sekaligus terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM3,000 hingga RM5,000.

Katanya, kejadian yang berlaku pada malam 27 Mei lalu mengakibatkan beberapa kebun sekitar turut menjadi mangsa.

“Kejadian seperti ini sudah lama berlaku tetapi tiada sebarang tangkapan dilakukan dan menyebabkan pencuri bebas.

“Tetapi malangnya pada malam itu pencuri bersama rakan-rakannya telah datang ke kebun kami untuk mencuri hasil tanaman dan telah disedari oleh pekerja di kebun berkenaan.

“Tanpa berlengah kami telah buat laporan polis tentang kejadian tersebut, tidak sampai 24 jam pencuri berjaya ditangkap,” katanya kepada Sinar Harian.

Chin Kian berkata, kejadian itu berlaku dua malam berturut-turut di mana pencuri memetik jagung, keledek dan ubi kayu.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada polis IPD Kluang kerana membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi kami. Selepas pencuri ditangkap kejadian curi tidak lagi berlaku.

“Selepas ini kami semua dapat tidur dengan lena tanpa perlu risau lagi,” katanya.

Timbalan Presiden Persatuan Sayur daerah Kluang, Lim Ser Kwee berkata, walaupun mengalami kerugian yang banyak namun, beliau berpuas hati dengan tindakan segera polis.

“Jika sesuatu kejadian berlaku mereka perlu buat laporan kerana dengan laporan tersebut masalah yang dihadapi akan dapat diselesaikan segera.

“Saya juga berharap agar selepas ini para pekebun perlu bekerjasama dengan pihak polis bagi melaporkan setiap kes yang berlaku, jika tidak lapor mereka (polis) tidak akan tahu.

“Saya faham ada pekebun yang takut untuk buat laporan, tetapi saya akan tolong mereka untuk membuat laporan seperti mana apa yang berlaku ini, semuanya adalah hasil usaha semua berpakat untuk buat laporan kepada polis,” katanya.

No comments:

Post a Comment