Search This Blog

Thursday, June 13, 2013

'Dia peluk saya dengan erat'

'Dia peluk saya dengan erat'Tidak patah semangat. Shafie (dua dari kanan) bapa kepada arwah Mohd Sahbudin berada di tepi pantai menantikan berita terkini mengenai gerakan mencari anaknya.
'Dia peluk saya dengan erat'
Mayat mangsa lemas kedua, Mohd Sahbudin yang ditemui kira-kira jam 5.20 petang dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk pemeriksaan lanjut.
DUNGUN - “Selepas terjatuh dari bot, saya cuba berenang ke tepi tapi Halim memanggil nama saya lalu saya berpatah balik untuk mendapatkannya, dalam keadaan cemas itu dia sempat bergantung pada saya tapi dia terlepas semula sebelum dia hilang,”

Demikian cerita Mazli Muhammad, mangsa yang terselamat selepas dua rakannya hilang dalam kejadian lemas yang hampir meragut nyawanya dekat pantai Sura Hujung, petang kelmarin.

Menceritakan detik cemas sebelum tragedi, Mazli berkata, ketika kejadian, dia bersama Halim Urus, 22, dan Mohd Sahbuddin Shafie, 18, sedang menuju ke pantai selepas memperoleh hasil tangkapan.

Sebaik menghampiri pantai, bot dinaiki tiba-tiba berpusing menyebabkan mereka terpelanting ke laut. Mazli berkata, ketika itu mereka bertiga masih sedar dan sempat mengapungkan diri di permukaan laut.

Kata Mazli, dia cuba berenang ke darat namun Halim memanggil namanya beberapa kali menyebabkan dia tidak sampai hati lalu pergi semula mendapatkan adik iparnya itu.

Menurut Mazli, ketika itu keadaan Halim sudah tidak bermaya dan Halim sempat memeluknya dengan erat.

"Ketika tenggelam, saya cuba naik ke permukaan untuk mengambil nafas, masa itulah dia terlepas dari saya.

“Seketika kemudian, entah mengapa bot itu tiba-tiba berhenti berpusing lalu 'menuju' ke pantai tanpa dipandu, seolah hendak 'dapatkan' bantuan,” katanya.

Menurutnya, rakannya, Hamidi Shafie, 19, yang kebetulan berada di tepi pantai kemudiannya memandu botnya yang hanyut ke pantai itu ke arah mereka bertiga lalu menyelamatkannya.

Mazli yang sudah tidak bermaya kemudiannya dibawa ke darat oleh Hamidi sebelum dihantar ke hospital oleh penduduk kampung.

Fikir soal hidup mati

Mengimbas detik sebelum tragedi, Mazli yang masih trauma berkata, pada awalnya hanya dia dan Halim yang mahu ke laut.

Namun Sahbudin yang diarahkan agar menghantar enjin bot ke pantai dikatakan dipelawa Halim, lalu mereka bertiga mengambil keputusan untuk bertolak dari Pantai Sura kira-kira jam 7 pagi sebaik enjin bot berjaya dihidupkan.

Mazli berkata, ketika terapung di laut selepas terjatuh dari bot, dia hanya memikirkan soal hidup atau mati kerana dua rakannya yang pada awal berada dalam jarak hanya beberapa meter darinya, sudah hilang.

"Nasib baik bot itu hanyut dan sempat dipandu semula oleh Hamidi yang kemudiannya datang menyelamatkan saya.

"Jika tidak saya pasti turut menjadi korban,” kata Mazli yang tidak dapat melelapkan mata kerana teringatkan detik hitam yang meragut nyawa seorang rakan termasuk adik iparnya itu.

Mazli dimasukkan ke Hospital Dungun untuk rawatan lanjut sebelum dibenarkan keluar tengah hari semalam selepas keadaannya dilaporkan stabil.

Dua mayat ditemui

Sementara itu, usaha pasukan penyelamat mengesan dua lagi mangsa yang masih hilang berhasil apabila mangsa kedua, Halim ditemui di permukaan laut kira-kira jam 1.15 awal pagi semalam, manakala mayat, Sahbudin ditemui kira-kira jam 5.20 petang.

Mayat Halim ditemui penduduk kampung di permukaan laut menghampiri daratan, kira-kira 100 meter dari lokasi dia dilaporkan hilang manakala mayat Sahbudin ditemui kira-kira 50 meter dari mayat rakannya ditemui.

Kedua-dua mayat yang masih lengkap berpakaian itu kemudiannya dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun dan disahkan identitinya oleh ahli keluarga mangsa selepas membuat pengecaman.

Bapa arwah Halim, Urus Ibrahim, 56, yang ditemui di pekarangan Unit Forensik Hospital Dungun ketika menuntut mayat anak lelakinya itu berkata, pada petang hari kejadian, dia pergi ke pantai Sura untuk menunggu kepulangan anaknya yang keluar menangkap ikan selepas anak keenam daripada 12 beradik itu tidak pulang untuk makan tengah hari di rumahnya.

Hurus berkata, ketika berada di tepi pantai pada petang itu, dia sempat melihat bot dinaiki anaknya bersama dua yang lain termasuk iparnya, Mazli sedang menuju ke arah pantai.

Bapa mangsa redha

Katanya, sebelum itu hatinya rasa tidak tenteram kerana arwah keluar ke laut tanpa pengetahuannya, namun sebaik terpandang bot arwah semakin menghampiri pantai, kebimbangannya berakhir lalu Urus naik ke tebing sebelum singgah di sebuah warung berdekatan untuk minum teh.

"Selepas memesan minuman, tiba-tiba anak saya Hamidi berlari ke arah saya memaklumkan Halim dan dua lagi rakannya terjatuh dari bot.

“Saya turun semula ke pantai, namun kelibatnya di permukaan laut sudah tidak kelihatan,” katanya.

Sementara itu, bapa Sahbudin, Shafie Ali, 51, berkata, malam sebelum kejadian, arwah dikatakan meminta wang RM10 daripada ibunya, dan wang berkenaan mungkin digunakan anaknya untuk membeli petrol untuk diisi dalam enjin bot.

"Itulah kali terakhir saya jumpa dia. Saya redha, sudah takdir menentukan dia menemui ajal di laut, tempat dia cari makan," katanya.

Jenazah Halim selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sura Hujung, Dungun, selepas solat Zohor petang semalam.

Hadir sama menziarahi jenazah Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli, Adun Paka, Satiful Bahri Mamat serta Adun Sura, Wan Hapandi Wan Nik.

No comments:

Post a Comment