Cari adik hilang
Hamdan memegang gambar Arshad yang hilang sejak sebulan lalu.
LAMBOR KANAN - Seorang abang dari Kampung Batu 16 ¾ Lambor Kanan di sini tidak dapat menyembunyikan kebimbangannya apabila memikirkan adiknya yang dikhuatiri hilang sejak sebulan lalu.

Hamdan Mat Nasib, 49, berkata, adiknya, Arshad Mat Nasib, 40, mengalami masalah mental sejak terlibat dalam kemalangan semasa masih bersekolah menengah.

Menurutnya, adiknya memang suka merayau-rayau ke seluruh kampung dan kampung berhampiran dengan berjalan kaki tetapi akan pulang ke rumah apabila waktu malam.

“Namun pada 24 Mei lalu, dia keluar kira-kira jam 8 pagi dan pulang sekejap pada waktu malam tetapi tidak masuk ke dalam rumah, selepas itu kami tidak lagi menjumpainya.

“Pernah juga dia tidak pulang ke rumah selama dua hari tetapi selepas itu ada rakan-rakan yang mengenalinya akan menghantarnya pulang semula ke rumah,” katanya.

Kata Hamdan, mereka tinggal bertiga iaitu bersama seorang kakak Nor Hamimah Mat Nasib, 52, sejak beberapa tahun lalu.

“Kami berharap sesiapa yang tahu di mana dia berada segera memberitahu kami atau membawanya pulang ke rumah.

“Kami khuatir dengan keadaannya dan jika sesiapa yang menjumpainya diharapkan dapat menghubungi kami dengan kadar segera,” katanya.

Kata Hamdan, laporan polis juga sudah dibuat di Balai Polis Bota dan Balai Polis Kampung Gajah mengenai kehilangan adiknya.

“Kami juga turut menampal gambar adik di kawasan tumpuan orang ramai supaya dapat membantu kami,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung Talang Durian Sebatang, Ayob Kamaruddin berkata, sesiapa yang mengetahui keberadaan Arshad boleh menghubunginya di talian 012-5690684 ataupun 05-3763105.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah Superintendan Mohamad Fakri Che Sulaiman mengesahkan menerima laporan kehilangan Arshad.