Search This Blog

Thursday, June 13, 2013

Bayi diculik 5 jam

Bayi diculik 5 jamLokasi bayi terbabit ditemui berhampiran medan selera di Yong Peng, Batu Pahat, kelmarin.
MUAR - Seorang bayi lelaki berusia setahun yang dilarikan penjenayah dalam tempoh kira-kira lima jam, ditemui semula dalam keadaan selamat selepas ditinggalkan berhampiran medan selera di Yong Peng, Batu Pahat, kelmarin.

Bayi terbabit ditemui sedang menangis sendirian di hadapan tandas berdekatan medan selera berkenaan sekitar jam 3 petang oleh seorang peniaga dikenali Zainab, 49.

Peniaga itu kemudiannya membawa bayi terbabit ke gerainya  untuk ditukarkan lampin pakai buang dan diberi makan sebelum menyerahkannya ke Balai Polis  Yong Peng.

Bayi itu kemudian, dituntut ibu bapanya sekitar jam 7 malam  kelmarin, dan menjalani pemeriksaan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar, serta  dilaporkan stabil.

Difahamkan, dalam kejadian sekitar jam 10 pagi itu, seorang lelaki menaiki sebuah kereta Proton Persona datang ke rumah mangsa di sini.

Suspek yang bertemu ibu bayi terbabit membawa kotak dan berlakon seperti mahu menghantar ikan dipesan bapa mertuanya.

Tanpa rasa curiga, ibu bayi terbabit membuka pintu pagar dan mengajak suspek masuk ke rumah. Bagaimanapun, suspek menolak wanita berkenaan dan menuju  ke dapur.

Suspek kemudiannya bertindak mengikat tangan dan mata wanita berkenaan sebelum meninggalkan rumah mereka dengan membawa bersama bayi terbabit.

Ketika kejadian, wanita itu berada di rumah bersama tiga anaknya termasuk bayi terbabit, manakala suaminya bekerja.

Wanita berkenaan mengetahui anaknya dilarikan suspek apabila diberitahu jirannya yang ternampak bayi terbabit dibawa keluar oleh individu tidak dikenali dengan menaiki kereta yang diletakkan di hadapan rumah.

Bagaimanapun, usaha  Sinar Harian untuk menemubual lanjut wanita berkenaan gagal atas alasan dia enggan diganggu oleh mana-mana pihak.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Muar, Superintenden Sahadan Jaafar mengesahkan ada menerima laporan penemuan semula bayi itu.

Menurutnya, usaha menjejaki suspek sedang giat dijalankan dan saksi kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1961,” katanya.

No comments:

Post a Comment