Ah long ambil duit 'gaji'
Abd Wahab (kanan) bersama Razly menunjukkan wang dan kad ATM yang berjaya dirampas, awal pagi semalam.
PORT DICKSON - Empat lelaki dipercayai ejen syarikat peminjam wang atau ah long ditangkap ketika sedang leka mengeluarkan wang menerusi mesin pengeluaran wang automatik (ATM) menggunakan beberapa kad milik pelanggan, awal pagi semalam.

Kejadian berlaku sekitar 4.30 pagi di tiga bank berasingan sekitar bandar Port Dickson dan Lukut di sini, menerusi operasi Vulture yang dijalankan anggota polis semalam.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Abd Wahab Harun berkata, lelaki berusia antara 38 dan 40 tahun itu ditahan bersama 53 keping kad ATM, selain sejumlah RM15,290 dirampas.

"Modus operandi suspek adalah menyimpan kad ATM peminjam sebagai cagaran. Suspek akan mengeluarkan kesemua wang pelanggan pada hari gaji sebagai bayaran bulanan pinjaman. Selepas ditolak bayaran balik pinjaman, bakinya akan dipulangkan semula kepada peminjam," katanya.

Menurutnya, hasil siasatan awal polis juga mendapati kebanyakan peminjam merupakan kakitangan awam.

“Mereka mengeluarkan wang pelanggan pada awal pagi bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa,” katanya.

Menurutnya, serbuan pertama dilakukan di BSN Port Dickson kira-kira 4.30 pagi dan menahan seorang suspek bersama 18 kad ATM serta wang berjumlah RM15,000.

“Serbuan kedua kira-kira 4.40 pagi di bank CIMB Port Dickson dan polis turut menahan seorang suspek serta merampas 10 kad ATM, diikuti serbuan ketiga di bank CIMB Lukut 15 minit kemudian dan menahan seorang suspek serta merampas sebanyak lima kad ATM," katanya.

Sementara itu, katanya, dalam serbuan terakhir di bank CIMB Port Dickson kira-kira 10 minit kemudian, seorang suspek ditahan bersama 20 kad ATM beserta wang tunai berjumlah RM290.

“Operasi tersebut dianggotai seramai enam anggota polis dan diketuai Inspektor Razly Mazli dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial IPD Port Dickson,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson, dekat sini semalam.

Abd Wahab berkata, satu daripada suspek yang diberkas adalah ejen peminjam wang tidak berlesen, manakala tiga lagi mempunyai lesen.

“Kes akan disiasat di bawah Seksyen 29(A) Akta Peminjam Wang Haram 1951. Jika disabitkan kesalahan membawa hukuman denda tidak lebih RM20,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.

"Selain itu, Seksyen 5(2) Akta Pemberi Peminjam Wang 1951. Jika disabit kesalahan membawa hukuman denda tidak kurang darpada RM20,000 dan tidak lebih daripada RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Menurutnya, polis akan terus melakukan pemantauan dari masa ke semasa dan mengesan kegiatan berkenaan supaya tidak terus menular di kalangan masyarakat.

“Semua 53 peminjam itu akan dipanggil ke balai polis untuk diberikan sesi kaunseling dan motivasi agar tidak mengulangi tindakannya meminjam dari ejen peminjam wang," katanya.