Search This Blog

Thursday, June 13, 2013

32 rumah terjejas banjir kilat

32 rumah terjejas banjir kilatPenduduk terpaksa meredah banjir kilat untuk mengeluarkan barangan elektrik setelah rumah dinaiki air.
BAGAN SERAI - Hujan lebat luar biasa ditambah keadaan air laut pasang besar menyebabkan sejumlah 32 rumah dilanda banjir kilat melibatkan dua kampung di Jalan Banjar, di sini malam kelmarin.

Daripada keseluruhan jumlah itu, Sinar Harian mengenal pasti sebanyak 25 rumah dilanda banjir kilat setinggi setengah meter di Kampung Masjid Tinggi, manakala lebihan tujuh rumah dikenal pasti dinaiki air bah di Kampung Teluk Peribu.

Hampir keseluruhan rumah di dua kampung itu dilanda banjir kilat selepas hujan lebat luar biasa selama lebih tiga jam dan menyebabkan lebih 10 rumah yang terletak pada paras rendah menerima impak buruk.

Mangsa banjir, Hamsah Yam, 72, berkata, kebanyakan penduduk Kampung Masjid Tinggi terpaksa mengharungi banjir kilat setiap kali hujan dan situasi itu menjadi kebiasaan apabila sebanyak tiga kejadian serupa terjadi pada tahun lalu.

Menurutnya, masalah berpunca daripada keadaan parit di sepanjang kampungnya yang tidak diselenggara dengan baik dan menyebabkan limpahan air parit memasuki rumah penduduk sekiranya hujan turun melebihi sejam.

“Keadaan itu ditambah pula dengan pengaliran air parit keluar ke sungai berdekatan sangat perlahan disebabkan kapasiti parit sedia ada amat sempit dan perlu dinaik taraf,” katanya sewaktu ditemui media di rumahnya di Kampung Masjid Tinggi semalam.

Turut hadir melawat kejadian banjir ialah Ketua Umno bahagian Bagan Serai, Datuk Zaili Cha, Pegawai Khas Ahli Parlimen Bagan Serai, Mohd Fikri Radzuan yang mewakili Ahli Parlimen Bagan Serai, Dr Noor Azmi Ghazali, jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kerian.

6 jam hujan tanpa henti

Hamsah berkata, hujan lebat bermula jam 11 malam kelmarin sehingga jam 5 pagi semalam mula mengakibatkan hampir keseluruhan rumahnya dinaiki air.

Menurutnya, dia kini mengalami kesukaran untuk membersihkan rumah dan menyelamatkan beberapa peralatan elektrik yang terdapat di rumahnya disebabkan tinggal seorang diri dan keadaan banjir tidak kunjung surut.

“Saya terkejut tengok tilam dan barangan rumah terapung di atas air di (bahagian) bawah rumah lepas bangun tidur jam 5 pagi.

“Mujurlah barangan elektrik dan beberapa barangan perabot juga tidak rosak dilanda banjir kilat. Jika tidak, tidak tahulah macam mana saya hendak baikinya,” katanya.

Hasmah turut menyatakan kebimbangan keadaan banjir kilat menjadi semakin parah sekiranya tiada mekanisme penyelesaian segera dicapai.

“Kebiasaannya keadaan banjir sebegini memerlukan masa sekurang-kurangnya tiga hari untuk air bah surut sepenuhnya.

“Justeru, saya berharap pihak berkuasa tempatan (PBT) prihatin dengan nasib penduduk dengan segera menjalankan kerja penyelenggaraan membersihkan parit bagi melancarkan pengaliran air ke sungai,” katanya.

Tambah kekerapan penyelenggaraan

Ketua Kampung Masjid Tinggi, Mohd Hamsan Aini ketika ditemui menegaskan rumah Hamsah merupakan salah satu daripada 25 rumah dilanda banjir kilat yang kerap berlaku di kampung itu.

Menurutnya, kerja penyelenggaraan dan mencuci parit kampung itu kebiasaannya dilakukan sebanyak dua kali setahun dan pihaknya memohon kadar kerja penyelenggaraan ditambah kepada empat kali setahun.

Tiada pembersihan berkala

Sementara itu, dalam kejadian banjir kilat di Kampung Teluk Peribu 1 dan 2, Ketua Kampung Teluk Peribu, Abdullah Sani Hamzah menegaskan sejumlah tujuh rumah terlibat dengan banjir kilat di mana dua daripadanya dinaiki air sehingga paras betis.

Menurutnya, keadaan hujan lebat luar biasa ditambah air laut pasang menyebabkan limpahan air sungai memasuki rumah penduduk terlibat dalam masa singkat.

“Selain itu, ia juga berpunca daripada masalah perparitan akibat ketiadaan kerja pembersihan berkala oleh pihak bertanggungjawab. Bagaimanapun, saya bersyukur Datuk Zaili (Cha) dan pegawai JPS hadir memberi jaminan akan menjalankan kerja mencuci parit dengan segera,” katanya.

JPS, JKR sedia selesaikan masalah

Dalam pada itu, Zaili ketika ditemui menegaskan pegawai JPS sudah memberi jaminan kepada pihaknya untuk menjalankan kerja-kerja mengorek dan mencuci parit utama kampung bagi memastikan aliran air ke sungai lebih lancar.

“Pegawai JPS yang hadir turut menegaskan kerja-kerja mengorek selut dan mencuci parit akan disiapkan dalam masa sebulan, manakala masalah parit di Kampung Masjid Tinggi juga akan diselesaikan pihak JKR dalam masa terdekat.

“Justeru, saya berharap jaminan penyelesaian diberikan agensi kerajaan terlibat dapat mengurangkan kebimbangan penduduk mengenai ancaman banjir kilat,” katanya.

No comments:

Post a Comment