Search This Blog

Saturday, June 29, 2013

3 warga Indonesia, Myanmar dipenjara sehari



SHAH ALAM - Tiga warga Indonesia dan seorang warga Myanmar dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen  di sini hari ini, selepas mereka mengaku bersalah memberi suapan kepada tiga anggota polis trafik Selasa lepas.
   
Hakim Mohammed Mokhzani Mokhtar juga memerintahkan Abdul Rohman Rais, 36, Mat Soleh, 32, Marhamah, 39, dan Min Myo Min, 37, dipenjarakan sebulan lagi jika mereka gagal membayar denda.
   
Abdul Rohman, Mat Soleh dan Min Myo Min masing-masing didakwa memberi suapan RM50 dan RM100 kepada Sarjan Ahmad Khairi Ley, Koperal Mohd Nor Mohd Yacoob dan Koperal Abdul Aziz Jaafar yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD) Kajang cawangan trafik.
   
Ia adalah sebagai dorongan untuk tidak mengeluarkan saman kepada mereka kerana menunggang motosikal tanpa lesen memandu yang merupakan kesalahan di bawah Seksyen 26 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
   
Marhamah pula didakwa memberi suapan RM50 kepada Ahmad Khairi sebagai dorongan untuk tidak mengeluarkan saman terhadap adik sepupunya bernama Rumiati atas kesalahan tidak mempunyai lesen memandu semasa menunggang motosikal.
   
Keempat-empat tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Plaza Tol Batu 9, Cheras dekat sini antara pukul 7.35 pagi dan 9.15 pagi pada 25 Jun lepas.  

Mereka dituduh mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan.
   
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Lokman Kassim sementara kesemua tertuduh tidak diwakili peguam. - Bernama

No comments:

Post a Comment