239 sekolah Manjung, Hilir Perak ditutup
Seorang pengawal keselamatan Sekolah Menengah Sultan Abdul Azizi, J Michael menutup pagar sekolah sebaik sesi petang dibatalkan ekoran jerebu. – Foto Sinar Harian
IPOH  - Sebanyak 239 sekolah di dua daerah di Perak iaitu Manjung dan Hilir Perak ditutup bermula sesi persekolahan petang, hari ini akibat jerebu.

Timbalan Pengarah Pelajaran Negeri, Mohd Idris Ramli berkata, kesemua sekolah terbabit, masing-masing 102 (Manjung) dan 137 (Hilir Perak) ditutup selepas catatan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) menunjukkan peningkatan mendadak di paras bahaya.

Menurutnya, sesi persekolahan membabitkan 86,128 pelajar itu ditutup sehingga esok.

“Di Manjung, sebanyak 21 sekolah menengah dan 81 sekolah rendah manakala Hilir Perak melibatkan 24 sekolah menengah dan 113 sekolah rendah yang terjejas akibat fenomena tersebut.

“Berikutan itu, seramai 20,714 pelajar sekolah menengah dan 25,823 murid sekolah rendah di Manjung serta 19,446 pelajar sekolah menengah dan 20,145 murid sekolah rendah di Hilir Perak diarahkan untuk bercuti,” katanya ketika dihubungi.

Mohd Idris berkata, jika ada sekolah di negeri ini yang mencatatkan IPU melebihi 250, mereka boleh mendapatkan kebenaran pendaftar untuk menutup sekolah yang terlibat.

“Bagaimanapun, kita akan melihat daripada pelbagai sudut dan jika sekolah tersebut perlu ditutup kerana dikhuatiri akan menjejaskan kesihatan pelajar, pendaftar sekolah akan mengeluarkan surat kebenaran bagi menutup sekolah berkenaan,” jelasnya.

Tambahnya, bagi sekolah di kawasan yang mencatat IPU 200 ke atas, semua aktiviti luar akan ditangguhkan dan hanya aktiviti di dalam kelas dibenarkan.

“Sekolah yang terlibat masih boleh menjalankan aktiviti namun pergerakan pelajar adalah terhad.

“Namun, jika ada kalangan ibu bapa yang mempunyai anak berpenyakit seperti lelah, mereka boleh mendapatkan surat pengesahan doktor dan memaklumkan perkara itu agar pelajar terbabit tidak perlu hadir ke sekolah,” katanya.