12 wanita asrama trauma disamun
Pintu hadapan rumah mangsa yang diumpil.
12 wanita asrama trauma disamun
Mangsa memasang tiga kunci di pintu kerana trauma dengan kejadian menimpa mereka.
LUNAS - Dua pekerja wanita warga asing berusia 20-an trauma apabila empat lelaki tidak dikenali masuk ke rumah mereka yang merupakan asrama pekerja sebuah kilang di Taman Sentosa kira-kira jam 3 pagi kelmarin.

Salah seorang mangsa berkata, sebelum kejadian mereka terdengar bunyi pintu rumah diumpil bagaimanapun melarikan diri ke dalam bilik kerana ketakutan.

Menurut mangsa, suspek menggeledah di bahagian ruang tamu sebelum pergi ke bilik, sebelum terdengar suspek cuba membuka bilik pertama dengan mengumpil pintu serta menendangnya, bagaimanapun lima pekerja yang berada di dalamnya menghalang pintu dari terbuka.

Katanya, suspek kemudiannya pergi ke bilik kedua dan berhadapan dengan masalah sama apabila lima pekerja wanita yang ada dalam bilik itu sempat menahan pintu bilik dari dibuka suspek.

Suspek kemudiannya pergi ke bilik mangsa dimana hanya mangsa dan seorang rakan berada di dalam bilik ketika itu kerana tiga dari mereka keluar bekerja.

“Kami cuba tahan pintu bilik dari diumpil suspek bagaimanapun mereka terlalu kuat. Mereka tendang pintu bilik beberapa kali sebelum terbuka. Apabila berjaya masuk ke dalam bilik, salah seorang suspek letakkan pisau di leher saya dan minta serahkan duit dan barangan kemas.

"Kami tak ada duit kerana masih belum menerima gaji ketika itu. Suspek kemudiannya ternampak telefon bimbit dan merampasnya sebelum melarikan diri. Kami memaklumkan kejadian pada rakan dan mereka hubungi polis,” katanya.

Menurut mangsa ini merupakan kejadian pertama berlaku terhadapnya sepanjang dua tahun tinggal di negara ini.

Katanya kejadian itu mengakibatkan kesemua penghuni asrama berasa ketakutan kerana kawasan rumah itu jauh dari pemerhatian orang ramai.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh meminta mangsa mengenakan kunci pendua untuk memastikan rumah mereka sukar diceroboh, selain bahagian hadapan rumah haruslah bersih dan tidak menghalang pandangan orang ramai.

“Penduduk seharusnya memasang lampu di bahagian hadapan dan belakang rumah ketika malam. Ini membolehkan orang ramai serta jiran dapat lihat jenayah sekiranya berlaku.

"Selain itu mangsa harus berada dalam keadaan tenang dan menghubungi polis sekiranya ternampak suspek mencurigakan berada di sekitar kawasan rumah mereka. Mereka boleh menghubungi talian polis 04-4916999 atau 04-4906222 untuk meminta bantuan,” katanya.

Pengerusi Pertubuhan Prihatin Kebaktian Masyarakat Kulim (PPKM) Khor Eng Khim pula berkata, maklumat tentang kejadian itu diterima oleh ahli PPKM dan mereka mengejar suspek sehingga Tasek Gelugor sebelum memecut ke Sungai Petani.

Katanya, bagaimanapun suspek berjaya meloloskan diri.