Warga emas nekad terjun sungai
KOK LIANG
TELUK INTAN - Seorang warga emas yang dikatakan tidak sanggup menanggung derita barah payudara mengambil keputusan terjun ke Sungai Bidor di sini, petang kelmarin.

Mangsa dikenali sebagai Ng Ah Loke, 73, berasal dari Padang Tembak, nekad terjun ke Sungai Bidor sebagai cubaan membunuh diri.

Mangsa meminta bantuan seorang jiran untuk membawanya ke jeti berhampiran dengan Sungai Bidor.

Ketika sampai di jeti berkenaan yang berhampiran dengan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak, warga emas  itu meluahkan perasaan berkenaan penyakitnya yang dihadapi sejak enam tahun lalu.

Difahamkan, wanita itu juga mengatakan tidak sanggup untuk menanggung penyakit itu dan menjadi beban kepada anaknya kerana terpaksa menanggung kos rawatannya.

Sinar Harian dimaklumkan, setelah meluahkan perasaan, mangsa turut meninggalkan pesan kepada jirannya untuk memaklumkan dia ada meninggalkan surat wasiat untuk kedua-dua orang anaknya yang bekerja di Kuala Lumpur dan Kuantan, Pahang sebelum terjun ke Sungai Bidor.

Jiran mangsa turut cuba menyelamatkan warga emas  itu namun tidak berjaya dan memaklumkan perkara itu kepada pihak polis.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, pihaknya menerima maklumat berkenaan kejadian itu telah menubuhkan pasukan mencari mangsa bersama-sama anggota  Balai Bomba dan Penyelamat, petang kelmarin.

Menurutnya, pasukan  menyelamat mencari mangsa sehingga 8 malam kelmarin  sebelum menangguhkan operasi kerana keadaan semakin gelap.

“Operasi mencari dan menyelamat mangsa diteruskan pagi tadi (semalam) sebelum anggota penyelamat berjaya menemukan mayat wanita warga emas itu.

“Mayat mangsa ditemui kira-kira 8.30 pagi tadi (semalam) tidak jauh daripada lokasi warga emas itu terjun ke  Sungai Bidor petang semalam (kelmarin),” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Kok Liang berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk tindakan lanjut dan telah dituntut oleh keluarga untuk tujuan pengebumian, tengah hari semalam.

“Kes yang melibatkan warga emas terjun ke Sungai Bidor diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.