Search This Blog

Thursday, May 23, 2013

Warga emas maut digilis lori


Tanjung Karang: Seorang warga emas yang menunggang basikal maut digilis lori dalam kemalangan langgar lari di lampu isyarat berhadapan Hospital Tanjung Karang, di sini kira-kira jam 8.30 malam kelmarin.

Lebih menyedihkan, mangsa Lias Mat, 62, baru melewati tempat kerja seorang daripada anaknya untuk pulang ke rumah mereka di Taman Seri Setia, dekat sini selepas bekerja di sebuah restoran di Baru 7.


Anak kedua mangsa, Samsul Lias, 32, yang bertugas sebagai pengawal keselamatan di hospital berdekatan hanya mampu berlari mendapatkan mayat bapanya sejurus dimaklumkan rakan setugas yang menyaksikan kejadian itu.

“Saya sungguh terkejut sebaik dimaklumkan rakan dan terkilan kerana tidak dapat membantu walaupun saya berada di hospital yang tidak jauh dari lokasi kejadian,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Superintendan Mohd Taib Ahmad berkata, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala sejurus digilis tayar sebuah lori.


Menurutnya, siasatan awal polis mendapat kenderaan berat yang melanggar mangsa gagal berhenti sebaliknya meneruskan perjalanan.

“Ada saksi memaklumkan melihat lori yang melanggar mangsa tidak berhenti dan terus bergerak seolah olah tidak menyedari kenderaannya melanggar seseorang dan kita sedang berusaha mengesan kenderaan itu.


“Kami berharap sesiapa yang mengetahui atau boleh menjadi saksi kejadian kemalangan langgar lari ini menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Kuala Selangor, Inspektor Nor Azman melalui Ibu pejabat Polis Daerah Kuala Selangor di talian 03-32891222.

Katanya, mayat mangsa sudah dibawa ke Hospital Tanjung Karang untuk dibedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga untuk urusan pengebumian.

No comments:

Post a Comment