Search This Blog

Thursday, May 16, 2013

Warga emas dicekik penyamun



KUBANG PASU 15 Mei - Seorang wanita warga emas berusia 81 tahun yang juga peniaga kedai runcit mati dipercayai dicekik oleh sekumpulan penyamun yang memecah masuk premisnya itu di Pekan Batu 4, Jalan Sanglang-Kodiang dekat sini malam semalam.
Mangsa, Ooi Geok Lan ditemui mati dalam keadaan berselimut sehingga ke paras leher di atas kerusi rehat di ruang tamu rumah kedainya itu oleh anak lelakinya, Saw Gee Hock, 53, pukul 8 malam.
Gee Hock memberitahu, dia dihubungi seorang jiran yang mengesyaki sesuatu berlaku selepas ibunya itu didapati tidak membuka kedai.
Dia yang tinggal di Napoh kemudian bergegas ke rumah ibunya itu dan menemui mangsa dalam keadaan terduduk dan tidak bernyawa di atas kerusi rehat.
"Saya percaya ibu yang tinggal berseorangan dibunuh oleh penyamun yang memecah masuk kedai dan mencuri barang jualan seperti rokok dan wang.
"Pemeriksaan mendapati terdapat kesan lebam di leher, badan dan belakang tangan kiri ibu," katanya di sini hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Asisten Komisioner Mohd. Nashir Ya berkata, hasil bedah siasat mendapati mangsa mati kerana lemas akibat dicekik.
"Kita masih mengesan suspek dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130516/je_03/Warga-emas-dicekik-penyamun#ixzz2TP0A6t4R
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment