Search This Blog

Wednesday, May 15, 2013

Wanita mengaku tidak bersalah culik, peras ugut lelaki Bangladesh




15 Mei 2013
KUALA LUMPUR - Seorang wanita muda mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan iaitu menculik dan melakukan peras ugut terhadap dua lelaki warga Bangladesh, Mac lepas.
 
Bagi pertuduhan pertama, Noor Sabreena Salleh, 22, bersama seorang lelaki yang dituduh dan dua lagi yang masih bebas didakwa menculik Nasir Gazi, 26, seorang penjual pakaian bagi tujuan mengurungnya dengan sulit dan salah.
 
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Restoran Durbar, Jalan Midah 1, Cheras, di sini, pada pukul 9 pagi, 11 Mac lepas.
 
Dia didakwa mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun, atau denda, jika sabit kesalahan.
 
Bagi pertuduhan kedua, Noor Sabreena didakwa bersama seorang yang dituduh dan dua yang masih bebas, melakukan pemerasan sehingga menyebabkan manir, 26, seorang pekerja kilang, ketakutan akan berlaku pembunuhan ke atas rakannya Nasir.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di No 8, Jalan Midah Besar, Taman Midah, Cheras, pada jam 10.30 pagi, hari yang sama.
 
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 386 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.
 
Hakim Dazuki Ali membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 21 Mei ini untuk sebutan semula kes.
 
Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa ASP Zulkifli Osman, manakala tertuduh diwakili peguam Ahmad Ridza Mohd Noh.
 
Dalam kes yang sama, Mohd Shukri Ab Yazid, 39, didakwa pada 20 Mac lepas atas tuduhan sama dan kes itu sedang dalam perbicaraan.  - Bernama

No comments:

Post a Comment