Search This Blog

Thursday, May 16, 2013

Wanita dituduh culik, peras ugut



KUALA LUMPUR 15 Mei - Seorang wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menculik dan melakukan peras ugut terhadap dua lelaki warga Bangladesh, bulan lalu.
Noor Sabreena Salleh, 22, didakwa bersama seorang yang telah dituduh pada bulan lalu dan dua yang masih bebas dengan niat sengaja menculik dan melarikan seorang peniaga pakaian, Nasir Gazi, 26, bagi tujuan mengurung mangsa secara sulit dan salah.
Perbuatan itu didakwa dilakukannya di Restoran Durbar, Jalan Midah 1, Cheras di sini kira-kira pukul 9 pagi, 11 Mac lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda.
Wanita itu turut didakwa bersama seorang yang telah dituduh bulan lalu dan dua yang masih bebas melakukan peras ugut dan menyebabkan seorang pekerja kilang bernama Manir, 26, berada dalam ketakutan dengan mengatakan pembunuhan atau cedera parah akan berlaku kepada Nasir.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di No 8, Jalan Midah Besar, Taman Midah, Cheras di sini kira-kira pukul 10.30 pagi, 11 Mac lalu.
Bagi pertuduhan itu, Noor Sabreena didakwa mengikut Seksyen 386 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.
Pegawai Pendakwa, Asisten Supritendan Zulkifli Osman yang mengendalikan pendakwaan menawarkan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.
Hakim Dazuki Ali membenarkan tertuduh yang diwakili peguam, Ahmad Ridza Mohd. Noh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 21 Mei ini untuk sebutan semula kes.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20130516/ma_02/Wanita-dituduh-culik-peras-ugut#ixzz2TOzsBJFo
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment