Search This Blog

Thursday, May 23, 2013

Usaha menyelamat diteruskan di Moore


 
  Foto

Pembantu guru, Amber Ford meninjau kerosakan akibat puting beliung di sekolah tempat beliau mengajar di Sekolah Rendah Brianwood di Bandaraya Oklahoma, semalam. - Foto AP

Foto
Sukarelawan mengedarkan makanan panas kepada mangsa puting beliung dan pekerja penyelamat di Moore, Oklahoma, semalam. - Foto AFP

Pasukan kecemasan guna anjing kesan mangsa puting beliung

Moore: Usaha menyelamat di kawasan yang dilanda puting beliung diteruskan sepanjang malam kelmarin sehingga pagi semalam, dengan pegawai yakin semua yang terperangkap dalam bencana itu sudah diambil kira.
Puting beliung besar yang melanda pinggir Moore di Bandaraya Oklahoma malam Isnin lalu memusnahkan rumah dan mengorbankan sekurang-kurangnya 24 orang dan mencederakan kira-kira 240.
Pasukan penyelamat mengangkat tembok dan kanak-kanak berlari keluar. Mereka mengeluarkan kanak-kanak daripada bawah blok tanpa cedera sedikit pun” Jeremy Lewis, Wakil Jabatan Polis Oklahoma

Jurucakap Pengurusan Kecemasan Oklahoma, Jerry Lojka, berkata pasukan mencari dan menyelamat menggunakan anjing akan mencari mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan tetapi perhatian juga diberikan kepada usaha membersihkan kawasan itu.

“Mereka akan terus mencari di kawasan untuk memastikan tiada yang terlepas pandang,” katanya.

Selepas seharian mencari di kawasan rumah musnah yang perlahan akibat musim hujan, pesuruhjaya Mukim Oklahoma, Brian Maughan, berkata tiada seorang pun yang hilang.

“Setakat saya tahu, daripada senarai yang kami ada mereka semua dikira,” katanya.
Petang kelmarin, pasukan yang menggunakan anjing dan anggota pengawal kebangsaan bertukar syif untuk bekerja sepanjang malam.

Angka kematian seramai 24 orang lebih daripada dikhuatiri sebelumnya, tetapi sembilan kanak-kanak antara yang maut termasuk tujuh meninggal dunia di Sekolah Rendah Tower Plaza yang diserang secara langsung oleh puting beliung paling ganas pernah melanda Amerika dalam masa dua tahun.

Lebih 100 mangsa dikeluarkan

Pekerja kecemasan mengeluarkan lebih 100 mangsa terselamat daripada sisa runtuhan rumah, sekolah dan hospital selepas puting beliung melanda wilayah bandar raya itu dengan angin melebihi 320 kilometer sejam, meninggalkan jejak kemusnahan 23 kilometer panjang dan dua kilometer lebar.

Sekolah Rendah Menara Plaza adalah antara lima sekolah yang berada dalam laluannya.

“Pasukan penyelamat mengangkat tembok dan kanak-kanak berlari keluar. Mereka mengeluarkan kanak-kanak daripada bawah blok tanpa cedera sedikit pun,” kata Sarjan Jeremy Lewis daripada Jabatan Polis Oklahoma.

Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan menaikkan kiraan kekuatan ribut itu kelmarin, berkata ia adalah EF5 yang jarang berlaku, senarai paling kuat dalam Skala Fujita.

Kali terakhir puting beliung gergasi menyerang kawasan itu adalah pada 3 Mei 1999 yang membunuh lebih 40 orang dan memusnahkan ribuan rumah. Ia juga disenaraikan sebagai EF5.

Walaupun Lojka berkata jejambat di kawasan terjejas kelmarin menunjukkan 2,400 rumah rosak dengan anggaran 10,000 penduduk turut menerima kesan, angka kematian lebih rendah daripada jangkaan.

Angka itu sedikit daripada mangsa puting beliung 2011 yang melanda Joplin, Missouri, yang membunuh 161 orang. - REUTERS

No comments:

Post a Comment