MUAR - Cubaan dua lelaki memecah masuk sebuah rumah di bandar ini gagal apabila perbuatan mereka disedari jiran mangsa, Ahad lalu.

Pemangku Ketua Polis daerah, Superintendan Sahadan Jaafar berkata, suspek yang masing-masing  berusia lingkungan 30an itu berjaya ditahan di Jalan Daud di sini,  tidak lama selepas melarikan diri daripada  pasukan polis yang meronda kawasan berhampiran.

Menurutnya, dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, pengadu melihat orang tidak dikenali sedang cuba mengumpil pintu pagar rumah jirannya.

“Pengadu diberitahu ibunya yang curiga dengan  gerak geri seorang lelaki yang berada di depan pintu  pagar rumah berkenaan.
“Dia kemudian meninjau dari tingkap biliknya dan melihat seorang lelaki sedang mengumpil pintu pagar rumah jirannya, manakala sebuah kereta jenis Proton Satria berwarna merah berada tidak jauh dari  mereka,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, semasa polis tiba suspek telah melarikan diri dan meninggalkan peralatan memotong dawai di longkang berhampiran.

Jelasnya, pihaknya meneruskan rondaan di kawasan berhampiran dan menemui kereta tersebut di jalan belakang rumah mangsa dan mereka berjaya ditahan ketika cuba memecut kenderaan itu untuk melarikan diri.

“Susulan itu, kita berjaya menahan seorang lagi suspek kira-kira empat jam kemudian pada hari sama kerana dipercayai bersubahat dengan kejadian tersebut,” katanya.

Sahadan berkata, ketiga-tiga lelaki berusia 30an itu tiada sebarang rekod jenayah lampau namun polis tidak menolak kemungkinan mereka terbabit dalam beberapa kejadian pecah rumah di sekitar Muar sebelum ini.

“Ujian air kencing tiga suspek berkenaan positif dadah jenis syabu dan kes disiasat mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan kerana menceroboh,” katanya.