Search This Blog

Thursday, May 16, 2013

Tiga keluarga nyaris maut ditimpa runtuhan tebing bukit



Roslan Eusoff (dua dari kiri) menunjukkan kawasan yang terjejas akibat runtuhan tanah di Kampung Ayer Keroh, Bukit Senggeh, Selandar dekat Jasin, Melaka, semalam.
JASIN 16 Mei - Tiga buah keluarga nyaris maut selepas tebing sebuah bukit berhampiran tapak projek mengorek pasir di Kampung Ayer Keroh, Bukit Senggeh, Selandar dekat sini tiba-tiba runtuh dan hampir menimpa rumah mereka.
Dalam kejadian pukul 8.15 pagi ini, sisa tanah runtuh bersama lumpur turut menyebabkan jalan utama penduduk berhampiran untuk keluar ke pekan Selandar tidak dapat dilalui.
Menurut Pegawai Daerah Jasin, Roslan Eusoff, kejadian dipercayai berlaku akibat tekanan air yang tinggi ekoran kerja-kerja mengorek pasir berdekatan bukit tersebut.
"Tebing di bukit berkenaan tidak mampu bertahan akibat terpaksa menampung air yang banyak hingga menyebabkan berlaku tanah runtuh, kira-kira 10 meter dari tiga buah rumah itu.
"Bagaimanapun tiada kecederaan dilaporkan berlaku. Tiga keluarga terlibat akan dipindahkan ke penempatan sementara di Balai Raya Bukit Senggeh Barat untuk keselamatan," katanya ketika ditemui
di tempat kejadian di sini hari ini.
Menurut Roslan, kerja-kerja pembersihan runtuhan tanah di situ sedang dilakukan bagi membolehkan jalan terlibat dapat digunakan penduduk semula.
Beliau memberitahu, pihaknya juga menunggu hasil kajian yang dilakukan oleh Jabatan Geologi mengenai tahap keselamatan dan struktur tanah di situ.
"Jika struktur tanah tidak selamat, 15 buah keluarga yang tinggal berhampiran tempat kejadian mungkin akan diarah meninggalkan rumah masing-masing," ujar beliau.
Penduduk, Jamalludin Sher Mohamad, 52, berkata, runtuhan yang berlaku itu menyebabkan tanah pertanian miliknya yang berkeluasan 1.4 hektar terjejas teruk dan diselaputi lumpur.
Katanya, sebelum ini penduduk telah membuat aduan berhubung aktiviti mengorek pasir yang dikhuatiri boleh mendatangkan risiko tanah runtuh.
"Saya berharap masalah runtuhan itu mendapat perhatian sewajarnya dari pihak berkenaan untuk kebaikan semua pihak dan diselesaikan secepat mungkin," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130517/dn_29/Tiga-keluarga-nyaris-maut-ditimpa-runtuhan-tebing-bukit#ixzz2TXYL7OOK
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment