Search This Blog

Thursday, May 23, 2013

Tiada sindiket jual lesen



Kuala Lumpur: Tidak timbul isu sindiket penjualan lesen penjaja kerana permohonan tapak bazar Ramadan sudah ditutup sejak sebulan lalu.

Demikian tegas Timbalan Ketua Pengarah, Pembangunan Sosio Ekonomi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Amin Nordin Abdul Aziz berhubung dakwaan wujudnya sindiket itu oleh Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS), Mohd Ridzuan Abdullah, di sini semalam.


“Perlu diingatkan permohonan lesen penjaja tidak hanya boleh dilakukan dalam tempoh yang singkat. Semua individu memohon tapak bazar Ramadan tahun ini terdiri daripada peniaga kecil dan penjaja yang sedia ada dan sudah lama mempunyai lesen penjaja sendiri.

“Justeru, tidak timbul langsung isu sindiket penjualan lesen penjaja diutarakan Presiden IKHLAS,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.


Difahamkan peniaga kecil dan penjaja perlu memiliki lesen penjaja sebagai antara syarat digariskan DBKL bagi membolehkan mereka memohon tapak bazar Ramadan tahun ini.


Menurut Amin Nordin, DBKL kini bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wilayah Persekutuan dari awal sehingga selesai operasi bazar Ramadan nanti pada Ogos depan.

“Tahun ini, sejak awal lagi SPRM sudah terbabit secara langsung bagi menangani isu penjualan tapak bazar Ramadan.


“Misalnya, dalam sesi perjumpaan antara DBKL dengan semua lima persatuan peniaga kecil dan penjaja yang berdaftar pada Januari lalu, SPRM turut terbabit dalam memberikan cadangan serta langkah menangani masalah itu.

“Malah melalui perjumpaan di Port Dickson itu, kami (termasuk lima persatuan yang terbabit) sebulat suara bersetuju pemberian tapak bazar dibuat secara langsung kepada peniaga kecil dan penjaja dan bukan lagi menerusi persatuan seperti sebelum ini.


“Ini membolehkan SPRM mudah menyiasat dan mengambil tindakan terhadap individu yang bertindak menyewa atau menjual tapak kepada pihak lain.


“Ketika itu, IKHLAS tidak berada dalam perbincangan itu kerana persatuan itu bukanlah berdaftar di bawah persatuan peniaga kecil dan penjaja dengan DBKL.


“Justeru, mungkin IKHLAS tidak mengetahui pembabitan SPRM secara langsung dalam pengagihan tapak bazar Ramadan kali ini. Bagaimanapun, sekiranya IKHLAS ada bukti kukuh dakwaan mereka, sila kemukakan terus kepada SPRM bagi membolehkan tindakan tegas diambil,” katanya.


Sebelum itu, Presiden IKHLAS, Mohd Ridzuan Abdullah mendakwa menerima 10 aduan peniaga dan penjaja kecil di sini berhubung isu penjualan tapak bazar Ramadan.


Menerusi sidang media semalam, Mohd Ridzuan berkata, penjualan satu tapak itu boleh mencecah sehingga RM50,000 dan ia turut dijual kepada warga asing, “Selain itu, terdapat desas-desus mengatakan terdapat sindiket penjualan lesen penjaja antara RM300 hingga RM400 kepada orang ramai bagi membolehkan mereka membuat permohonan tapak bazar nanti.


“Dalam masa sama, saya mencadangkan tapak di bahagian hadapan kedai (siar kaki) diberikan kepada pemilik premis bangunan bagi mengelakkan pergaduhan selain membantu mereka menjual bekalan tambahan sempena perayaan nanti.


“Melalui cara ini juga, tidak akan timbul isu tidak puas hati dan kedai pemilik premis jualan tidak terhalang oleh gerai tambahan di hadapan premis mereka,” katanya.


Sementara itu, IKHLAS turut bercadang menyerahkan memorandum bantahan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung kebanjiran peniaga asing yang semakin ramai di sekitar bandar raya ini.

No comments:

Post a Comment