Search This Blog

Thursday, May 30, 2013

Tiada senarai lengkap



Petra Jaya: Jumlah sebenar mangsa yang terbabit dalam bot ekspres karam berhampiran Tanjong Giam Bungan, Belaga, pagi kelmarin sukar dipastikan kerana pengusaha bot tidak mempunyai senarai lengkap nama penumpang yang menggunakan perkhidmatan itu.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata, keadaan itu menyukarkan polis mengenal pasti jumlah sebenar dan identiti mangsa dan setakat ini, polis bergantung kepada maklumat diperolehi hasil temu bual dengan keluarga serta penumpang terselamat.


Katanya, setakat ini, temu bual ke atas pihak terbabit mendapati jumlah terkini mangsa yang terselamat adalah 179 penumpang, manakala 11 lagi masih hilang.

“Namun, kita tidak menolak kemungkinan angka yang hilang mungkin lebih daripada itu. Sehingga pagi ini (semalam), angka yang polis peroleh adalah 179 selamat, manakala 11 lagi hilang,” katanya ketika dihubungi, semalam.


Katanya, operasi mencari dan menyelamat diteruskan membabitkan 100 anggota polis, bomba, Jabatan Kesihatan, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Pejabat Residen Kapit.


Turut serta, 11 bot penyelamat dan 18 penyelam yang memberi tumpuan di Jeram Tukok/Jeram Bungan, kira-kira empat jam perjalanan ke hulu sungai dari Sibu.

“Kami belum dapat mengesahkan sama ada penumpang yang hilang itu terperangkap dalam bot ekspres yang tenggelam atau dihanyutkan arus deras ke hulu.


“Kami juga meminta pengurusan Empangan Hidro Bakun mengurangkan jumlah pelepasan air bagi memperlahankan arus di kawasan terbabit,” katanya.

Acryl berkata, polis mengumpul maklumat mengikut Seksyen 304, Kanun Keseksaan untuk menyiasat punca sebenar kejadian yang mengakibatkan kematian itu.


Dalam kejadian jam 9 pagi kelmarin, bot ekspres malang itu mengalami kerosakan enjin sebelum terlanggar batu dan karam.


Sementara itu, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak mengeluarkan senarai nama 11 penumpang yang masih hilang berusia antara 20 hingga 40-an.


Mereka terdiri daripada Anuar Margaret, Akong Empam, Hendry Linggi, Mejerin Bantan, Ricky Sunus, Robert Angih, Roslin Jati, Simon Patrick, Tommy Ubing, Welson Lat dan Wesly Belaja Nelson.


Orang ramai atau ahli keluarga yang mempunyai maklumat mengenai mangsa boleh menghubungi balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.

No comments:

Post a Comment