Search This Blog

Thursday, May 30, 2013

Tiada hati perut



Kajang: Seorang penyamun bertindak kejam dan tidak berperikemanusiaan apabila memukul kepala seorang nenek berusia 74 tahun sehingga mati sebelum melarikan barangan kemas dalam kejadian di Kampung Sungai Jai, Beranang, dekat sini, semalam.

Malah suspek menutup kepala Khalijah Abu Samah yang tertiarap di lantai dengan kain tudung sebelum melarikan diri menggunakan motosikal Yamaha 125Z.


Episod malang menimpa pesara guru itu hanya disedari jirannya yang tinggal di belakang rumah Khalijah pada 10 pagi semalam selepas mengesyaki ada sesuatu yang buruk berlaku apabila tidak melihat kelibat wanita terbabit.

Jirannya Ahmad Zaini Kasmuri, 54, berkata, kebiasaannya mangsa berada di luar rumah pada waktu pagi namun ketika kejadian dia pelik apabila tidak melihat kelibat mangsa.


Lelaki warga Indonesia itu juga peniaga sayur berkata, dia keluar pada jam 7 pagi untuk berniaga di pasar berhampiran rumah dan pulang ke rumah pada jam 10 pagi.


“Bagaimanapun, saya tidak melihat kelibat kakak dan pelik melihat motosikal Yamaha 125Z di luar pagar rumahnya. Pada mulanya saya tidak mengesyaki apa-apa dan pulang ke rumah yang terletak di belakang kediaman mangsa,” katanya.

Menurutnya, dia bagaimanapun berasa tidak sedap hati dan terus memeriksa kediaman wanita itu sebelum mendapati pintu rumah di bahagian dapur terbuka lalu memanggil berulang kali, tetapi tidak bersahut.


Berikutan itu, katanya, dia terus masuk ke dalam sebelum terkejut apabila melihat mangsa tertiarap di atas lantai.

“Saya tergamam melihat darah berlumuran di kepala mangsa, malah perompak itu turut meletak kain tudung di kepala kakak yang cedera. Cermin almari juga berselerak di tepi mangsa.


“Namun ketika itu saya lihat kakak sudah tidak bernyawa dan terus berlari memanggil jiran lain memaklumkan kejadian itu. Kami kemudian menghubungi polis memaklumkan kejadian menimpa mangsa,” katanya.


Menurutnya, motosikal yang di letakkan di luar pagar juga turut tidak kelihatan selepas itu dipercayai milik perompak terbabit.


“Saya tidak menyangka kakak ditimpa nasib malang seperti ini kerana dia sangat baik, malah rumah yang diduduki saya dan isterinya juga miliknya.


“Sepanjang tiga tahun menetap di sini, dia sangat baik hati dan kami duduk di rumah ini tanpa dikenakan bayaran. “Saya dan isteri sering menjaga keperluan harian dia termasuk memasak kerana dia tinggal berseorangan,” katanya.


Sementara itu, menantu mangsa Zunfar Mohd Saad, 42, berkata, dia hanya mengetahui kejadian menimpa ibu mentuanya kira-kira jam 11 pagi daripada Ahmad yang memberitahu mangsa disamun dan meninggal dunia.


“Saya yang terkejut mendengar berita itu terus bergegas pulang kerana saya dan suami juga tinggal di Kajang,” katanya.


“Ahmad beritahu mak cedera di kepala dan meninggal dunia akibat disamun. Dia beritahu terdapat serpihan kaca di lantai dan kemungkinan kepala terhantuk di bucu almari,” katanya.


Menurutnya, barangan kemas yang hilang adalah cincin, rantai dan gelang namun tidak mengetahui berapa jumlah kerugian.


Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab berkata, suspek dipercayai hanya seorang mengetuk pintu rumah mangsa dan sebaik wanita terbabit membuka pintu dia terus menceroboh sebelum memukul mangsa dengan senjata tumpul di kepala.

No comments:

Post a Comment