Search This Blog

Sunday, May 19, 2013

Tertembak rakan, buru kancil di hutan simpan



18 Mei 2013
KUALA LIPIS - Gara-gara terlalu asyik memburu kancil, seorang pemuda, 23 tahun, tidak menyedari tertembak rakannya sendiri di kawasan hutan simpan Sungai Yu, Merapoh di sini, malam semalam.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, berikutan insiden yang berlaku kira-kira jam 3 pagi itu, mangsa, Nazri Hadi, 40, maut, parah pada muka dan dada serta maut serta merta di tempat kejadian.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati, suspek tertembak mangsa yang disangkanya seekor kancil.
"Suspek memberitahu ada terlihat dua mata melawan cahaya dipercayai haiwan buruan sebelum menembaknya. Haiwan itu bagaimanapun lari dan suspek bertindak mengejar serta melepaskan tembakan keduanya yang mengenai seekor kancil.
"Suspek kemudiannya memanggil mangsa untuk menyembelih kancil yang ditembak namun panggilan itu tidak disahut dan pergi semula ke lokasi tembakan pertama serta mendapati mangsa meninggal dunia dalam keadaan berlumuran darah," katanya.
Terdahulu, difahamkan mangsa dan suspek keluar menaiki motosikal dan berburu di hutan simpan berkenaan kira-kira jam 10 malam.
Tiba di lokasi, mangsa yang membawa selaras senjata api buatan sendiri menyerahkan senjata tersebut kepada suspek untuk menembak haiwan buruan sebelum berpecah dua.
Dalam pada itu, Abdul Razak berkata, suspek menunggu hari cerah untuk keluar dari hutan dan selepas berbincang dengan ahli keluarga, suspek datang ke balai polis Merapoh bagi membuat laporan kejadian.
“Polis kemudiannya bergegas ke tempat kejadian dan menjumpai selaras senapang patah buatan sendiri berhampiran mayat mangsa bersama seekor kancil.
“Polis turut menemui enam butir peluru penabur dalam beg digalas mangsa,” katanya.
Mayat mangsa kemudianya dibawa ke Hospital Lipis untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga bagi urusan pengebumian.

No comments:

Post a Comment