Search This Blog

Thursday, May 30, 2013

Terlepas genggaman tangan isteri


Belaga: Sambutan Hari Gawai tahun ini tidak bermakna bagi seorang lelaki apabila isterinya yang mengandung anak keempat kemungkinan terkorban dalam tragedi bot ekspres karam di kawasan Jeram Tukok/Jeram Bungan, di sini, kelmarin.

John Soon, 39, dari Nanga Metah, Kapit berkata, sehingga kini, dia masih meletakkan harapan keajaiban berlaku supaya isterinya, Roslin Jati, 35, ditemui dalam keadaan selamat.


Katanya, selagi isteri yang dikahwini sejak lebih 10 tahun lalu tidak ditemui, hatinya tetap gelisah apatah lagi apabila mengenangkannya mengandung lima bulan.

“Walaupun saya tak pasti nasib isteri, jauh di sudut hati masih mengharapkan dia dan bayi dalam kandungan selamat,” katanya ketika ditemui Harian Metro di lokasi kejadian.


Menceritakan insiden itu, Soon berkata, ketika kejadian dia bersama isteri serta seorang anak lelaki mereka, Jacky, 5, dalam perjalanan pulang dari kem pembalakan di Bakun ke kampungnya di Nanga Metah, Kapit bagi menyambut Hari Gawai.


Bagaimanapun, katanya, kira-kira setengah jam perjalanan kipas enjin bot dinaiki itu terlanggar sebatang kayu balak yang hanyut menyebabkan enjin gagal berfungsi dan hanyut kira-kira 500 meter sebelum terlanggar batu besar.

“Keadaan itu benar-benar mendebarkan saya kerana kami dapat merasakan sesuatu tidak kena apabila sedikit demi sedikit bot itu senget serta dimasuki air sebelum terbalik.


“Ketika itu kedengaran penumpang mula menjerit dan masing-masing cuba menyelamatkan diri melalui pintu hadapan.

“Saya memegang erat tangan isteri dan anak ketika penumpang berebut untuk keluar, tetapi malangnya genggaman tangan isteri terlepas dan walaupun cuba mencarinya semula, tetapi gagal. Mujur saya sempat menarik keluar tangan anak saya,” katanya.


Katanya, usaha kembali ke bot berkenaan untuk mencari dan menyelamat isteri, menemui jalan buntu apabila bot ekspres itu terus tenggelam.

No comments:

Post a Comment