KUALA DUNGUN – Satu laporan polis dibuat di Balai Polis Dungun awal pagi kelmarin oleh sekumpulan ahli Umno berikutan satu khidmat pesanan ringkas (SMS) diterima berkaitan pengedaran video seks melibatkan pemimpin parti pembangkang.

Pesanan ringkas yang dihantar ke beberapa telefon bimbit milik ahli Umno menyebut bahawa cakera video seks didakwa mirip pemimpin Pas Datuk Mustafa Ali itu boleh didapati di Pejabat Penyelaras Umno Dun Sura dan Pejabat Parlimen Umno.

Siasatan awal oleh ahli Umno terlibat mendapati, maklumat itu tidak benar dan ia disyaki satu tindakan pihak tidak bertanggungjawab untuk mewujudkan suasana tidak harmoni menjelang pilihan raya umum.

Pengarah Strategi Pilihan Raya Umno Bahagian Dungun, Abdul Razak Ismail berkata, khidmat pesanan ringkas itu boleh menimbulkan persepsi kurang baik dalam kalangan masyarakat, sedangkan dakwaan terbabit sama sekali tidak benar.