Search This Blog

Saturday, May 18, 2013

Terima saman kereta sudah 3 tahun dijual


Kuala Lumpur: Seorang wanita kebingungan apabila menerima saman lalu lintas hampir RM5,000 dan tuntutan bayaran ansuran daripada pihak bank berjumlah RM14,200 walaupun sudah menjual kereta miliknya sejak tiga tahun lalu.

Menurut Low Yee Wah, kereta Proton Saga itu dijual kepada rakannya dengan syarat rakannya menyambung bayaran pinjaman kereta dan berjanji untuk menukar nama pemiliknya.


“Bagaimanapun, rakannya itu meninggal dunia September tahun lalu dan sejak itu, saya tidak tahu apa terjadi kepada kereta itu.

“Apabila saya menyemak laman web Jabatan Pengangkutan Awam (JPJ) awal tahun ini, saya mendapati kereta itu menerima lebih 30 saman atas kesalahan memandu laju,” katanya yang ditemui pada sidang media di Pejabat Biro Pengaduan Awam MCA, semalam. Katanya, selepas menerima saman terbabit, dia menyemak dengan pihak polis mengenai kereta itu dan dimaklumkan seorang lelaki warga Mesir menggunakannya selepas disaman polis. “Mengikut rekod saman, kereta itu digunakan seorang lelaki warga Mesir, dipercayai penuntut sebuah institusi pengajian tinggi, di sini.


“Saya percaya kereta itu digunakan untuk khidmat sewa kereta di kawasan Kuala Lumpur,” katanya.


Low berkata, disebabkan tidak mampu membayar hutang pinjaman kereta itu sejak enam bulan lalu, namanya kini sudah disenarai hitam pihak bank. “Saya seorang peniaga. Bagaimana saya mahu membuat pinjaman lain jika nama saya tidak boleh digunakan lagi untuk membuat pinjaman?,” katanya.

Sementara itu, Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Seri Micheal Chong berkata, pihaknya menerima 24 kes berhubung kereta yang masih mempunyai tunggakan hutang namun dijual kepada individu lain, sejak tahun lalu.

No comments:

Post a Comment