Tergamam dengar hukuman
Mohd Sapran dijatuhi hukuman penjara 18 tahun dan 15 sebatan selepas didapati bersalah mengedar dadah.
KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki tergamam seketika apabila mendengar hukuman 18 tahun penjara dan 15 sebatan dijatuhkan terhadapnya selepas didapati bersalah mengedar dadah, di Mahkamah Sesyen, di sini, semalam.

Tertuduh, Mohd Sapran Mohamed, 31, dari Gua Musang, Kelantan, dijatuhi hukuman berkenaan selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 38.35 gram (berat bersih).

Dia didapati bersalah melakukan perbuatan itu di kawasan tempat letak kereta Rumah Rehat Pejabat Daerah Setiu, pada 29 April 2011, kira-kira jam 10.45 malam.

Dengan itu, Mohd Sapran didapati bersalah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 (Akta 234) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A (2) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara tidak kurang lima tahun atau penjara seumur hidup dan dikenakan sebatan tidak kurang 10 sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Zarina Awang di hadapan Hakim Datuk Zainal Abidin Kamarudin.