Search This Blog

Tuesday, May 14, 2013

Terduduk pegang bahu berdarah



Johor Bahru: “Sebaik mendengar bunyi tembakan saya terus lari ke kawasan letak kereta dan melihat seorang lelaki berlari ke arah pagar, manakala seorang lagi lelaki, percayai rakannya menunggu di atas motosikal.

“Pada masa sama, saya lihat seorang lelaki terduduk memegang bahu kanan dipercayai terkena tembakan,” kata kakitangan Hotel Mutiara di Jalan Dato’ Sulaiman di sini, semalam.


Lelaki yang enggan dikenali itu berkata, melihat mangsa berlumuran darah dia terus mendapatkan bantuan dan meminta rakannya menghubungi polis.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, mangsa seorang ahli perniagaan dikenali sebagai Man Shoo Siom, 43, dikatakan sedang berjalan ke tempat letak kereta apabila ditembak dari jarak dekat oleh seorang lelaki.


Bagaimanapun, tembakan itu hanya mengenai bahu kanannya menyebabkan dia sempat melarikan diri dan meminta bantuan orang awam yang berada di tempat kejadian.


Suspek melarikan diri dengan menaiki sebuah motosikal yang ditunggang rakannya.

Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk rawatan kecemasan. Sementara itu, seorang lagi saksi, Wan Azah Abd Aziz berkata dia mendengar beberapa bunyi dentuman seperti mercun.


“Saya sangka budak-budak bermain mercun kerana terdengar bunyi seperti letupan empat kali.

“Saya meninjau di kawasan bunyi letupan itu dan pelik melihat ramai orang serta anggota polis berkumpul di kawasan berkenaan,” katanya.


Bagaimanapun, katanya, dia tidak melihat suspek atau mangsa kerana kawasan itu dipenuhi orang awam.


Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor Datuk Dr Hashim Haron berkata, pihaknya kini menjalankan siasatan bagi mengetahui punca sebenar kejadian.

No comments:

Post a Comment