Tempurung kepala retak
Liang Chuan dihantar ke HPSF untuk mendapatkan rawatan selepas parah ditimpa kelapa sawit.
LEDANG - Seorang lelaki cedera parah pada wajah dan kepala apabila kelapa sawit seberat 20 kilogram (kg) yang sedang dipetiknya terjatuh menimpa mukanya dalam kejadian di Parit Bunga, dekat sini, kelmarin.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 11 pagi itu, turut menyebabkan hidung Teo Liang Chuan, 43, patah, manakala tempurung kepalanya dilaporkan retak dan mangsa kini dirawat di wad kecemasan Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar.

Kejadian malang itu, disaksikan isteri mangsa berusia 40an yang berada selang tiga pokok dari tempat Liang Chuan memetik kelapa sawit.

Difahamkan, Liang Chuan mengambil alih tugas memetik buah itu yang di kebun milik rakannya selepas salah seorang daripada pekerjanya berhenti beberapa bulan lalu.

Bapa mangsa, yang mahu dikenali Teo, 60an, berkata, pada hari kejadian, anaknya ke kebun berkenaan ditemani isteri dan seorang pekerjanya warga Indonesia.

“Sebaik kelapa sawit yang berada pada ketinggian 15 kaki itu jatuh menimpa Liang Chuan, dia terus rebah di atas tanah lalu pengsan.

“Menantu yang terkejut dengan insiden itu segera mendapatkan suaminya yang terbaring dengan keadaan muka berlumuran darah,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, menantunya kemudian menghubungi adik Liang Chuan untuk mendapatkan pertolongan bagi menghantarnya ke HPSF segera berikutan darah pada muka suaminya tidak henti keluar.

Ujarnya, mujur kejadian itu disedari menantu dan jarak di antara tempat kejadian dengan hospital berdekatan serta mudah untuk menghantarnya mendapatkan rawatan dengan pantas.

“Ini adalah kejadian buruk pertama kali menimpa anak saya yang sudah berpengalaman lebih 10 tahun memetik kelapa sawit,” katanya.

Teo berkata,  walaupun kecederaan yang dialami Liang Chuan agak teruk, dia berharap anaknya dapat diselamatkan dan pulih seperti sedia kala.