Search This Blog

Tuesday, May 14, 2013

Tembak sebelum lari



Kajang: Dua lelaki nyaris maut akibat ditembak sekumpulan empat penjenayah yang cuba menyamun premis perniagaan mangsa dalam kejadian samun bersenjata api di kawasan perindustrian Bukit Angkat, Kajang, di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 5.15 petang itu, seorang mangsa cedera ditembak di kedua-dua paha manakala seorang lagi cedera di tangan akibat tembakan yang dilepaskan seorang daripada penjenayah berkenaan menembusi lengan kanannya. Isteri kepada pemilik premis kedai runcit berkenaan yang hanya ingin dikenali sebagai Rosma, 33, berkata, ketika kejadian, suami dan adik iparnya itu berada dalam kedai bersama beberapa pelanggan apabila tiba-tiba sekumpulan penjenayah datang menaiki sebuah kereta berwarna hitam.


“Sebaik tiba di depan kedai runcit kami, tiga daripada empat lelaki berkenaan keluar kereta, seorang berkawal di luar manakala dua lagi masuk ke dalam kedai.

“Seorang daripada mereka mengacukan pistol dan seorang lagi meluru ke kaunter sebelum menggeledah mencari wang tunai,” katanya.


Menurut Rosma, suaminya mengambil parang sebelum bergelut dengan lelaki terbabit.


“Melihatkan suami sedang bergelut, adik ipar saya membantu dan kedua-dua lelaki yang terkejut dengan tindakan itu melarikan diri ke kereta mereka.

“Namun, lelaki itu yang mempunyai pistol berpatah balik sebelum melepaskan beberapa das tembakan yang mengenai adik ipar saya dan seorang pelanggan,” katanya.


Rosma berkata, semua lelaki itu menaiki kereta dan memecut laju manakala suami menghantar adik ipar serta pelanggan yang cedera ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).

“Kejadian turut dirakam kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang dalam kedai dan polis sudah mengambil rakaman itu untuk membantu siasatan, selain menemui kelongsong peluru di luar kedai,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab, ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan memaklumkan siasatan masih dijalankan termasuk mengenalpasti suspek berdasarkan rakaman cctv yang diperoleh.


“Setakat ini belum ada tangkapan dilakukan dan polis sedang memburu keempat-empat suspek yang dipercayai warga tempatan itu,” katanya.

No comments:

Post a Comment