Tak sempat bawa barang curi
Sebahagian barang di rumah berkenaan yang dicuri tertuduh.
BALING - Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara 11 bulan oleh Mahkamah Majistret Baling kerana menceroboh masuk sebuah bengkel kereta di Jalan Weng dan mencuri beberapa barangan di sebuah rumah di Kampung Banggol Saga, Baling pada 22 Mac lalu.

Bagi pertuduhan pertama, Muhamad Rizal Rozemi, 26, dari Kampung Tanjung Nering dituduh menceroboh masuk di sebuah bengkel kereta dengan niat untuk mencuri pada jam lebih kurang 12 tengah hari.

Namun, tindakannya disedari oleh pemilik bengkel berkenaan seterusnya bertindak melarikan diri. Pertuduhan itu mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana menceroboh.

Bagi pertuduhan kedua, Muhamad Rizal dituduh menceroboh masuk di sebuah rumah di Kampung Banggol Saga pada jam lebih kurang 12.35 tengah hari iaitu selepas dia gagal mencuri barangan di dalam bengkel tersebut.

Antara barang yang tidak sempat dicurinya di rumah berkenaan ialah beberapa peralatan bertukang, segulung wayar, empat bilah pisau, lampu suluh dan juga wang RM150. Pertuduhan itu mengikut seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Bagi pertuduhan pertama, Muhamad Rizal dijatuhi hukuman penjara enam bulan dari tarikh tangkapan manakala bagi pertuduhan kedua dia dijatuhi hukuman penjara selama lima bulan. Kedua pertuduhan itu dijalankan secara berasingan.

Muhamad Rizal mengaku bersalah ketika pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mohd Khairul Hafizuddin Ramli.

Timbalan Pendakwa Raya diwakili Mohd Shaiful Akma Mohd Razi.

Sebelum ini, Sinar Harian pernah melaporkan mengenai lelaki terbabit yang ditahan polis dengan kerjasama Persatuan Prihatin dan Keselamatan Sukarela (PPKS) Baling di sebuah premis membasuh kereta di Kampung Charuk Bemban.

Sementara itu, dalam kes berasingan, seorang pemuda dijatuhi hukuman penjara 20 bulan dan dua tahun pengawasan selepas didapati bersalah memiliki 0.22 gram heroin dan 0.01 gram monoacetymorphine.

Mohd Khairul Daud, 24, dari Kampung Guar Reban melakukan kesalahan itu pada 6 Februari 2013 jam lebih kurang 4.30 petang di hadapan sebuah rumah di kampung tersebut.

Hukuman dijatuhi mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.