Search This Blog

Saturday, May 18, 2013

‘Syukur nyawa masih panjang’


Kota Bharu: “Syukur kerana nyawa masih panjang, saya ingatkan semalam (kelmarin) adalah sarapan terakhir,” kata tukang rumah, Azmi Ismail, 37, yang ditembak dua das dari jarak dekat ketika bersarapan di sebuah warung makan di Kampung Gong Batu, Pantai Kemayan, Bachok, kelmarin.

Dalam kejadian jam 8 pagi itu, Azmi cedera di pinggang kanan dan belakang paha kanan sebelum dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk rawatan dan keadaannya kini dilaporkan stabil.


Mengimbas kembali detik cemas itu, Azmi berkata, ketika kejadian dia bersama tiga pelanggan lain sedang bersarapan di warung berkenaan.

“Seorang lelaki berpakaian untuk ke masjid datang dan saya sangka dia mahu membeli makanan, tetapi tiba-tiba memarahi saya kononnya saya kurang ajar,” katanya ketika ditemui di HRPZ II di sini, semalam.


Menurutnya, dia dikejutkan dengan dua bunyi letupan seperti mercun berhampiran tempat duduknya.


“Saya sangka lelaki itu melempar mercun, namun rakan di sebelah berkata dia nampak lelaki itu menembak dengan pistol.

“Saya bertanya siapa yang dibedil (ditembak) sebelum menyentuh belakang badan dan menyedari ada darah. Apabila menyedari ditembak saya terus rebah di pangkuan rakan di sebelah,” katanya.


Dia mengerang kesakitan setengah jam sebelum dibawa ke HRPZ II dan menjalani pembedahan selama enam jam untuk mengeluarkan dua peluru.

Azmi berkata, dia tidak tahu punca ditembak dan menyerahkan kepada polis untuk menyiasat,” katanya.


Harian Metro semalam melaporkan, Azmi ditembak dari jarak dekat oleh lelaki tidak dikenali yang memakai baju melayu, kain pelikat dan bertopi keledar ketika sedang bersarapan. Suspek memarahinya dengan berkata ‘mu (kamu) ni metor (kurang ajar) terlajok (terlajak)’ kepada mangsa sebelum melepaskan tembakan dan melarikan diri dengan motosikal jenis Yamaha LC.

No comments:

Post a Comment