Suspek berbuih mulut di mahkamah
Tertuduh diberi bantuan kecemasan oleh pembantu perubatan, semalam.
KOTA BHARU - Persidangan Mahkamah Majistret di sini, semalam terpaksa berhenti seketika selepas seorang tertuduh tiba-tiba terbaring dalam keadaan mulut berbuih.

Kejadian berlaku kira-kira jam 12.15 tengah hari, 10 minit selepas Ahmad Amidi Abdullah, 39, dibawa ke mahkamah untuk proses dakwaan menagih dadah.

Ahmad Amidi tiba-tiba terbaring dan tidak dapat bangun walaupun dikejutkan beberapa kali oleh polis yang bertugas.

Dia yang menggigil dalam keadaan mulut berbuih itu bagaimanapun terpaksa dikejarkan ke hospital dengan ambulans 15 minit kemudian.

Proses mendakwa Ahmad Amidi akhirnya dijalankan di hospital pada jam 3 petang, semalam.

Dia dituduh memberikan kepada dirinya sendiri dadah jenis metamphetamine di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah di sini, pada jam 10 pagi, 9 Mei lalu.

Prosiding dijalankan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Noor Dayana Mohamad di hadapan Pendaftar Mahkamah Majistret, Norida Mohd Husain.

Tertuduh mengaku dan hukuman akan diputuskan hari ini.