Search This Blog

Thursday, May 16, 2013

Suri rumah batal saman



KUALA LUMPUR: Seorang suri rumah dari Muar, Johor, menarik balik permohonan menghina mahkamah terhadap Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, selepas dia dibebaskan dari Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik Batu Gajah kerana didakwa terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah.

Peguam Datuk N Sivananthan yang mewakili Lim Mui Cheng, 42, berkata pihaknya menarik balik permohonan itu memandangkan anak guamnya sudah dibebaskan pada 16 Julai lalu.
Peguam Kanan Persekutuan, Datuk Kamaluddin Md Said, yang hadir bagi pihak Musa, bagaimanapun memaklumkan mahkamah Lim dibebaskan bukan disebabkan tindakan samannya terhadap Musa.

Kamaluddin berkata, Lim dibebaskan selepas Menteri Dalam Negeri menandatangani surat pembebasannya, bagaimanapun dia masih terikat dengan siasatan selanjutnya.

Hakim Datuk Ghazali Cha membenarkan permohonan untuk menarik balik saman itu.

Pada 2 Julai, Ghazali membenarkan Lim mengemukakan prosiding menghina mahkamah terhadap Musa selepas polis menahannya semula walaupun sudah dibebaskan mahkamah melalui permohonan habeas corpus, pada Mei lalu.

Pada 25 Mei lalu, Hakim Datuk Mohd Sofian Abd Razak membenarkan permohonan habeas corpus Lim atas alasan penahanannya tidak mengikut peraturan dan memerintahkan dia dibawa ke mahkamah pada 27 Mei lalu untuk dibebaskan.
Bagaimanapun, ibu kepada lima anak itu ditahan semula hampir 10 anggota polis selepas keluar dari mahkamah.

Lim ditahan bersama suaminya, anak lelaki dan teman wanitanya kerana disyaki terbabit dalam pengedaran dadah ketika serbuan di rumah di Taman Mawar, Muar Johor, pada 27 April lalu.

No comments:

Post a Comment